Op tali pinggang keledar: Tidak biasa, remeh antara alasan penumpang - JPJ

2 Jul 2025 • 6:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pemakaian tali pinggang keledar sangat penting bagi mengurangkan risiko kecederaan parah akibat kemalangan. Foto hiasan

SEREMBAN - Tidak biasa memakai tali pinggang keledar dan remeh antara alasan diberikan penumpang pada Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar terhadap bas ekspres dan bas persiaran di Negeri Sembilan bermula Selasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebanyak 43 bas diperiksa menerusi operasi terbabit dengan tujuh individu berusia 19 tahun ke atas dikompaun RM300 kerana gagal mematuhi arahan dan peraturan ditetapkan itu.

"Pemakaian tali pinggang keledar sangat penting bagi mengurangkan risiko kecederaan parah akibat kemalangan.

"Kita (JPJ) lihat pematuhan dalam kalangan pemandu dan penumpang bas amat baik, sudah timbul kesedaran dan harap ia berterusan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi berkenaan di stesen Terminal One di sini pada Rabu.

Beliau menasihati pengusaha bas supaya memastikan kenderaan itu dilengkapi tali pinggang keledar yang beroperasi dengan baik dan sentiasa mengingatkan penumpang untuk memakai alat kelengkapan itu demi keselamatan.

Hanif Yusabra berkata, sepanjang sebulan operasi berkenaan, pihaknya turut melakukan penyamaran melalui dua pasukan membabitkan enam anggota bagi mengesan mana-mana pemandu dan penumpang bas yang melakukan kesalahan. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved