Op Tapis: Empat remaja antara 450 individu ditahan

31 Jan 2023 • 2:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Empat remaja lelaki berusia lingkungan 14 hingga 18 tahun antara 450 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas Se-Malaysia di Pahang minggu lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (gambar) berkata remaja paling muda yang berusia 14 tahun dan tidak bersekolah ditahan di Jerantut selepas dipercayai mengikut tiga rakannya untuk minum air ketum semasa serbuan dilakukan.

Beliau berkata daripada 450 yang ditahan, empat adalah wanita manakala 21 lagi warga asing yang terdiri daripada 18 warga Indonesia, dua Pakistan serta seorang Bangladesh.

“Majoriti mereka bekerja sebagai buruh ladang selain terdapat seorang penjawat awam iaitu pembantu perubatan yang ditahan di Bentong kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah.

“Daerah Kuantan mencatatkan jumlah penahanan paling tinggi iaitu 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tangkapan, diikuti Temerloh,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Azmi Awang Lah.

Ramli berkata operasi yang berlangsung tiga hari bermula 25 Jan lepas di semua 11 daerah di Pahang turut menangkap 35 individu dipercayai mengedar dadah dan 12 orang dikhendaki polis bagi pelbagai kesalahan termasuk jenayah.

Polis turut merampas 1,142.69 gram pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu, ganja dan pil yaba yang dianggarkan bernilai RM27,014 selain menyita wang tunai RM470 dan sebuah motosikal, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM34,484.

Beliau berkata pihaknya percaya bekalan dadah yang digunakan diperoleh dari negeri bersempadan seperti Lembah Klang dan Johor. -Bernama