
IPOH: Seramai 601 individu termasuk 23 warga asing ditahan menerusi Op Tapis Khas yang dijalankan serentak di Perak, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (gambar) berkata tangkapan itu membabitkan 578 lelaki dan 23 wanita berusia antara 17 hingga 65 tahun, pada sepanjang operasi tiga hari bermula 29 Jan.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan daerah telah menyerbu di 28 sarang penagihan dadah di kawasan Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Perumahan Rakyat (PPR), jeti nelayan serta lain-lain.
“Kita telah menahan 57 individu di bawah kesalahan pengedaran dadah, 147 orang bagi kesalahan memiliki dadah, manakala 397 penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Daripada keseluruhan tangkapan itu juga, 12 orang pula ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan 16 orang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki ditangkap, manakala 25 suspek dikenal pasti sebagai penagih dadah tegar dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C akta sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata pelbagai jenis dadah telah dirampas dalam serbuan itu, yang dianggarkan bernilai RM253,471.30.
“Kesemua dadah yang dirampas termasuk 745 gram (g) heroin base, 1,498.92g heroin, 745.19g syabu, ganja (55.54g), ketamin (14.90g), Eramin 5 (150.80g), ecstasy (3.90g), serbuk ecstasy (52.80g), kafein (19,375g) dan 62.25 liter cecair ketum.
“Selain itu juga JSJN Perak turut menyita enam buah kereta, 10 buah motosikal, barang kemas dan wang tunai, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM282, 622,“ katanya. -Bernama
