Op Tapis: Polis Kelantan rampas dadah bernilai lebih RM200,000

16 Jun 2022 • 2:06 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas dadah bernilai RM211,999.28 dalam Op Tapis Bersepadu bermula 5 hingga 12 Jun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan ACP Sheik Azhar Sheik Omar berkata kesemua dadah tersebut dirampas hasil daripada sembilan serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Pasir Puteh dan Bachok.

Beliau berkata dalam operasi itu juga seramai 10 lelaki dan seorang wanita tempatan turut ditahan.

“Hasil sembilan serbuan tersebut polis berjaya merampas sebanyak 18,500 biji pil Yaba, 211.57 gram (g) heroin, syabu (75.9 g) dan ganja (14.64 g) dengan anggaran nilai dadah berjumlah RM211,999.28,“ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata dalam operasi tersebut polis turut menyita termasuk sembilan motosikal, dua motokar, wang tunai berjumlah RM16,280, dua utas gelang dan dua bentuk cincin bernilai RM123,324.

“Kesemua suspek berumur antara 20 hingga 51 tahun itu direman selama tujuh hari dari tarikh ditangkap untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya.-Bernama