Op Vape 1.0 bongkar penjualan furanyl fentanyl di premis vape

21 Apr 2026 • 5:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Op Vape 1.0 bongkar penjualan furanyl fentanyl di premis vape
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR – Operasi besar-besaran Op Vape 1.0 di seluruh negara membongkar kewujudan dadah sintetik berbahaya jenis furanyl fentanyl yang disyaki mula menembusi pasaran tempatan melalui kedai vape.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 1,670 premis diperiksa dalam operasi pada 13 hingga 17 April lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 728 daripadanya didapati melanggar pelbagai peraturan, manakala 20 individu ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Hussein berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas 8,091 peranti vape, 5,257 katrij serta 19.67 kilogram (kg) dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.6 juta.

“Antara rampasan utama ialah cecair disyaki furanyl fentanyl seberat 18.55 kg, selain cecair THC, serbuk MDMA dan air ketum," katanya.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan 1,177 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 2,011 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

“Operasi ini dilaksanakan serentak di seluruh negara dengan fokus kepada pemeriksaan premis vape serta pengesanan individu yang terlibat dalam pengedaran bahan terlarang,” katanya.

Menurut beliau, kesemua bahan itu berupaya membahayakan kira-kira 48,050 individu.

*Kita mengesan kewujudan bahan disyaki furanyl fentanyl yang sudah berada di pasaran tempatan, dipercayai diedarkan melalui premis vape tertentu.

“Hasil rampasan dibuat di sebuah premis menjual vape, namun siasatan masih dijalankan sama ada bahan ini dijual secara terbuka atau hanya kepada pelanggan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahan tersebut dipercayai dibawa masuk dari luar negara, berkemungkinan dari rantau Asia Tenggara, dan bukan dihasilkan dalam negara.

“Setakat ini, kita percaya penjualan dilakukan secara terpilih kepada pelanggan tetap dan bukan secara terbuka. Harga jualan masih dalam siasatan dan bergantung kepada kandungan serta jumlah cecair vape terbabit,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Op Vape 1.0 merupakan fasa permulaan dan operasi susulan, Op Vape 2.0 akan dilaksanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan.

“Kita belum dapat mengesahkan wujudnya permintaan tinggi di Malaysia, namun terdapat petunjuk jelas sindiket cuba memperkenalkan bahan ini ke pasaran tempatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, furanyl fentanyl merupakan bahan yang sangat berbahaya kerana kesannya dianggarkan 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding morfin dan heroin.

“Di negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada, fentanyl telah menyebabkan peningkatan kes kematian akibat dos berlebihan.

“Walaupun setakat ini belum ada kes kematian di Malaysia yang dikaitkan secara langsung, penemuan ini amat membimbangkan kerana menunjukkan ia sudah mula menembusi pasaran negara,” katanya.