OpenAI hari ini mengumumkan OpenAI for Government yang merupakan perkhidmatan khas yang ditawarkan kepada kerajaan. Ini adalah usaha OpenAI menyokong usaha kerajaan Amerika Syarikat bagi meningkatkan keupayaan pekerja kerajaan dan membantu mengurangkan kerenah birokrasi dan kertas kerja. Pengguna awal OpenAI for Government ialah Makmal Penyelidikan Tentera Udara, NASA, NIH, dan Jabatan Perbendaharaan.

Serentak dengan pengumuman hari ini, OpenAI menerima kontrak bernilai $200 juta daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk membantu mengenal pasti bagaimana AI boleh mengubah operasi pentadbirannya. Kecerdasan buatan (A)) juga akan digunakan untuk menangani cabaran keselamatan negara yang kritikal dalam kedua-dua domain peperangan dan perusahaan.
Pengumuman OpenAI hari ini dilakukan hampir dua minggu selepas Anthropic melancarkan model Claude Gov yang dibangunkan khusus untuk operasi kerajaan seperti perancangan strategik, sokongan operasi dan analisis risikan. Menurut Anthropic, Claude Gov telahpun digunakan oleh beberapa agensi di peringkat tertinggi keselamatan negara Amerika dengan akses kepadanya terhad kepada mereka yang beroperasi dalam persekitaran memerlukan maklumat dirahsiakan.


