Sejak meninggalkan Apple pada tahun 2019, Sir Jony Ive menubuhkan firma rekaan Loveform dan juga firma perkakasan kecerdasan buatan (AI) io Products. Syarikat ini turut menerima penglibatan CEO OpenAI Sam Altman. Menurut laporan The Information hari ini, OpenAI kini mempertimbangkan untuk membeli io Products bagi membangunkan peranti AI mereka tersendiri.
OpenAI berminat membeli io Products pada nilai $500 juta. Syarikat kecil ini turut mempunyai beberapa kakitangan yang pernah bertugas untuk Apple. Antara yang sedang dibangunkan ialah peranti AI tanpa skrin dan kelengkapan rumah dengan kemampuan peranti berhubung (IoT).

Selepas diambil alih, io Products akan meneruskan pembangunan perkakasan sementara OpenAI akan membangunkan perisian yang boleh dikawal dengan suara pengguna. Sir Jony Ive pula akan memberikan bantuan rekaan menggunakan pengalaman beliau menghasilkan produk ikonik semasa masih bersama Apple.
Ura-ura Sam Altman dan Sir Jony Ive ingin menghasilkan perkakasan AI sendiri telah didengari sejak setahun lalu. Setakat ini dua usaha awal AI Pin dan Rabbit R1 menemui kegagalan. AI Pin telahpun dijual kepada HP dengan produk berhenti berfungsi pada Januari lalu. Sungguhpun begitu kegagalan dua produk awal ini tidak melemahkan semangat Meta, Google, Samsung dan Apple untuk membangunkan perkakasan AI mereka sendiri kerana ia dilihat sebagai pengganti kepada telefon pintar di masa hadapan.
