Seperti yang dilaporkan semalam, OpenAI melancarkan aplikasi baharu Sora dengan ia dilihat sebagai pesaing TikTok dengan semua video yang dipaparkan dijana oleh model baharu Sora 2. Menerusi Sora, video menegak akan dipaparkan dengan pengguna perlu menatal ke atas untuk video seterusnya.
Pengguna kemudian boleh menggunakan ciri Cameo untuk memasukkan diri mereka ke dalam video yang ditonton. Ia adalah seperti ciri Remix di TikTok tetapi dengan video baharu dijana untuk memasukkan diri penonton ke dalamnya. Pengguna perlu menekan butang “+” kemudian memilih siapa yang ingin dimasukkan ke dalam video sebelum menulis prom apa yang ingin dijana oleh Sora. Proses menghasilkan video baharu akan mengambil masa beberapa minit dengan ia dilakukan di awanan.

Sebagai langkah keselamatan, pengguna Sora boleh meletakkan had siapa boleh menggunakan rupa mereka dalam ciri Cameo. Tetapan yang diberikan ialah semua, rakan, pengguna lain yang dibenarkan dan menghalangnya terus. Sebelum ciri ini boleh digunakan, pemilik perlu merakam video pendek dengan audio keselamatan yang diberikan oleh Sora. Dengan ini menurut OpenAI, isu video palsu tidak boleh dijana tanpa kebenaran.

Semua video dijana menggunakan model AI baharu Sora 2. Sora 2 bukan sahaja boleh menjana video yang kelihatan realistik tetapi lengkap dengan audio yang berpadanan. Ini ialah sama seperti kemampuan Google Video 3 dan Meta Movie Gen. Terdapat beberapa gaya video boleh dijana seperti realistik dan juga gaya animasi Jepun. Pengguna juga boleh menjana video dalam pelbagai bahasa dengan hanya mengarahkannya menggunakan prom.
Aplikasi Sora hanya ditawarkan untuk iOS kepada pengguna di Amerika Syarikat sahaja sebelum. Ia turut hanya boleh digunakan mereka yang menerima jemputan pada ketika ini.



