Terma corporate espionage ataupun intipan korporat adalah sesuatu yang secara lazimnya diperlihatkan melalui filem ataupun siri televisyen sebagai plot yang mengasyikkan, tetapi baru-baru ini, ia nampaknya sebuah realiti yang telah dialami oleh OpenAI baru-baru ini.

OpenAI melaporkan bahawa mereka baru sahaja menemukan sebuah alat rakaman suara di salah satu bilik mesyuarat mereka, dimana pada awalnya, mereka tidak mengetahui siapakah yang memasangnya di situ. Setelah penyiasatan ringkas dibuat, ia diketahui bahawa salah seorang pekerja OpenAI yang bernama Abdulrahman Alfozan dari Arab Saudi yang bekerja di syarikat tersebut sejak Julai 2025 adalah dalangnya.
Alat rakaman audio tersebut telah ditemui dipasang di belakang sebuah televisyen dan dibalut dalam tisu, dan merupakan sebuah alat rakaman yang dibuat sendiri. Menariknya, ini juga adalah salah satu cara bagaimana pihak OpenAI mendapat tahu bahawa Alfozan adalah pekerja yang telah memasang alat rakaman suara tersebut.

OpenAI telah mendapat tahu bahawa akaun ChatGPT isteri Alfozan telah digunakan untuk bertanya bagaimanakah sebuah alat rakaman suara boleh dibina olehnya sendiri dan bagaimana ia boleh digunakan secara jarak jauh untuk merakam dan menghantar data kepada komputer ribanya tanpa perlu mengakses alat rakaman tersebut secara fizikal.
Kemudiannya, beg Alfozan yang ditinggalkan ditemui mengandungi satu lagi alat rakaman audio dan dokumen-dokumen pengenalan peribadi beliau. Rakaman video menunjukkan Alfozan berada berhampiran bilik itu beberapa kali sebelum penemuan alat rakaman tersebut, walaupun dia tidak dibenarkan memasuki bilik atau menghadiri mesyuarat yang menggunakan bilik tersebut.
Mesyuarat-mesyuarat yang diadakan dalam bilik mesyuarat tersebut secara lazimnya berbincang tentang projek-projek dan hal rahsia syarikat, penyelidikan dan juga berkaitan penglibatan kerajaan, dan penggunaan bilik mesyuarat tersebut sangat disekat.
Alfozan telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah untuk kesalahan intipan korporat dan merakam perbualan rahsia.
Sumber: The San Francisco Standard





![[VIDEO] Alza ‘terangkat’ kena puting beliung](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-13-at-8.08.50-PM-1024x538.jpeg)