
OpenAI kini memperkenalkan perkhidmatan mereka dalam menyaingi penawaran Meta Muse, melalui apa yang dinamakan sebagai Dots. Dots menawarkan ejen AI yang sentiasa aktif, dan boleh melakukan sejumlah tugasan bagi pihak pengguna. Model ini dikuasakan dengan sokongan GPT-6 Astra.
Buat masa ini, pengguna boleh menetapkan satu Dot mereka tersendiri, memberikan nama untuknya dan meminta ia melakukan tugasan berkaitan. Kelak, OpenAI menyatakan mereka akan menawarkan sokongan untuk mengawal sejumlah Dots yang bertugas melalui integrasi antara satu sama lain dari segi tugasan dan pelaksanaan kerja.
Dots juga boleh dikawal dengan menghantar ia mesej melalui beberapa perkhidmatan, termasuk Slack dan Microsoft Teams. Dengan memberi watak dan persona tersendiri, ia dilihat OpenAI menyasarkan penggunaannya yang lebih meluas, dan bukannya khusus untuk pengguna teknikal seperti penawaran melalui perkhidmatan ejen AI yang lain. Melalui contoh yang diperlihatkan, Dots dilihat boleh berfungsi sepanjang masa, memberikan maklumbalas dan mengemaskini web atau aplikasi berdasarkan maklumbalas pengguna, mengemaskini dokumen, menguruskan temujanji harian, dan sebagainya. Semua ini berjalan secara latar, dan tidak memerlukan pengguna membuka dan berada dihadapan peranti. Ini juga membawa kepada kebolehan mengautomasi sejumlah tugasan dengan mudah.
Dots ditawarkan untuk pelanggan Pro dan Business Premium sahaja buat masa ini.


