
KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan memperluaskan penggunaan dron secara menyeluruh sempena Operasi Hari Raya Aidiladha dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan pemanduan berbahaya serta mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Jazmanie Shafawi berkata, lpenggunaan dron akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh operasi khas perayaan itu.
Menurut beliau, ia susulan peningkatan ketara dalam pemantauan trafik dari udara ketika jutaan rakyat Malaysia dijangka pulang ke kampung halaman sempena Aidiladha.
“Sebanyak enam dron telah digerakkan bagi operasi tersebut dengan dua unit ditempatkan di Kelantan, dua di Negeri Sembilan, manakala masing-masing satu unit di Sarawak dan ibu pejabat JPJ.
“Penggunaan dron akan difokuskan di kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti dalam 288 lokasi panas kemalangan di seluruh negara,” katanya pada sidang media sempena Operasi Hari Raya Aidiladha di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara, hari ini.
Jelas Jazmanie, penggunakan dron tersebut akan dimaksimumkan di lokasi hotspot bagi mengesan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya.
“Jika sebelum ini dron hanya digunakan pada waktu tertentu, kali ini ia akan digunakan sepanjang tempoh operasi,” katanya.
Antara laluan utama yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan ialah laluan Kuala Lipis–Gua Musang, Gua Musang–Kuala Krai, Gerik–Jeli serta Segamat–Mersing.
Pihak berkuasa turut mengenal pasti beberapa zon bahaya di lebuh raya, termasuk laluan Terowong Menora hingga Sungai Perak di Perak serta beberapa seksyen Lebuhraya Pantai Timur antara Kijal dan Kuala Terengganu.
Jazmanie berkata, Operasi Hari Raya Aidiladha akan berlangsung bermula Ahad hingga 31 Mei ini dengan matlamat memastikan tahap pematuhan yang tinggi terhadap peraturan jalan raya serta meningkatkan keselamatan pengguna sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan kali ini akan dilaksanakan secara menyeluruh dan strategik berasaskan konsep “Perception of Being Caught”, iaitu meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap kehadiran penguat kuasa bagi mengurangkan tingkah laku berisiko.
“Ia termasuk mempertingkat kehadiran anggota penguat kuasa di kawasan tumpuan, laluan persekutuan utama, lebuh raya, terminal pengangkutan awam serta 288 hotspot kemalangan di seluruh negara di bawah slogan ‘Pandu Cermat, Selamat Sampai’.
“JPJ akan memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
“Antaranya termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, gagal memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa muatan berlebihan serta membawa muatan berbahaya,” katanya.
Dalam pada itu, JPJ turut memperhebat penguatkuasaan terhadap kenderaan komersial dan pengangkutan awam menerusi pemeriksaan pematuhan teknikal, keperluan Sistem Kedudukan Global (GPS), Peranti Had Laju (SLD), audit keselamatan dan permit pengendali.
Beliau berkata, operasi itu juga akan diperkukuh dengan penggunaan teknologi serta aset penguatkuasaan moden termasuk Kamera Tindakan Penguatkuasaan (EAC), kamera badan, operasi rondaan dan pemantauan melibatkan kira-kira 2,500 pegawai serta anggota JPJ di seluruh negara.
Selain itu, operasi khas terhadap penunggang motosikal turut akan dilaksanakan memandangkan golongan tersebut masih menjadi antara kumpulan pengguna jalan raya paling berisiko di negara ini.
“Operasi khas terhadap penunggang motosikal akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pematuhan serta mengurangkan risiko kemalangan melibatkan golongan itu yang kekal antara kategori pengguna jalan raya paling berisiko tinggi,” katanya. - Getaran, 23 Mei 2026

