Operasi hormat undang-undang fasa dua bermula Jumaat ini di 16 lokasi

13 Sep 2023 • 10:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Fasa 2 pada waktu puncak melibatkan 16 lokasi di sekitar ibu negara selama dua minggu bermula Jumaat ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata operasi bersepadu siri kedua itu dilaksanakan susulan maklum balas positif orang ramai sebelum ini terhadap kepatuhan peraturan jalan raya pada siri pertama dari 1 hingga 31 Julai lalu.

“Seperti mana (yang) saya selalu nyatakan selain daripada kita mahu Kuala Lumpur ini selamat, kita juga mahu mereka patuh kepada peraturan seperti parkir, lampu isyarat, isyarat lalu lintas dan sebagainya.

“Jadi, itulah objektif kita supaya kehidupan di Kuala Lumpur ini lebih teratur dan tiada halangan atau pun sekatan khususnya pada waktu puncak,” katanya pada sidang media mengenai operasi itu, di sini, hari ini.

Allaudeen berkata pelaksanaan operasi kedua itu melibatkan 16 persimpangan, antaranya, Persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Semarak, Persimpangan Jalan Raja Laut/Jalan Sultan Ismail, Persimpangan Jalan Bukit Bintang/Jalan Raja Chulan dan Persimpangan Jalan Imbi/Jalan Sultan Ismail.

Katanya, selain polis, operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar membabitkan 1,000 anggota dan pegawai.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved