Operasi kartel dibuat belakang tabir, elak jejas integriti siasatan rentas sempadan: Razarudin

LocalPolitics
17 Nov 2025 • 5:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Tanggapan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menggempur aktiviti kartel dadah sejak 20 tahun lalu tidak benar, sebaliknya memilih bertindak dibelakang tabir kerana tidak mahu operasi didedahkan, kata Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, operasi sulit, perkongsian risikan masa nyata serta kerjasama secara senyap rentas sempadan atau 'silent operation' sudah lama menjadi tunjang utama dalam usaha Malaysia memerangi penyeludupan dadah meskipun sebahagian kecil daripadanya didedahkan kepada umum.

Menurut Razarudin, langkah itu bagi mengelakkan sindiket mengubah taktik sehingga melepasi radar risikan dan penguatkuasaan.

"Semasa era perkhidmatan saya, kebanyakan operasi membabitkan kartel dadah dilakukan di belakang tabir.

"Kita (polis) tidak menghebahkan sesuatu operasi membabitkan kartel kerana sekiranya didedahkan, sindiket-sindiket berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah akan menambah naik modus operandi dan menyukarkan pengesanan," katanya selepas melawat Pusat Autisme PDRM, di sini, hari ini lapor BH.

Razarudin berkata, PDRM sudah lama menjalin kerjasama operasi dengan pihak berkuasa Australia menerusi Task Force Tiger serta rangkaian agensi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) seperti New Zealand, Korea Selatan dan Indonesia lebih awal daripada pendedahan terbaharu yang dibuat kepada media untuk pendedahan umum.

"Kita sudah ada perjanjian dengan Australia sejak saya menjadi KPN, Task Force Tiger sudah wujud bertahun-tahun dan pasukan polis sentiasa memantau pergerakan pengedar dari negara terbabit," katanya.

Razarudin yang juga mantan Pengarah JSJN mendedahkan, banyak rampasan besar termasuk satu kes yang nilai rampasannya hampir mencecah RM1 bilion adalah hasil kerjasama berterusan antara agensi Malaysia dan rakan antarabangsa.

"Ia (kartel) bukan baru bermula, tangkapan dibuat sejak puluhan tahun, ini adalah hakikatnya," katanya lagi sambil mengakui PDRM sentiasa menjejak pengedar sama ada dari Malaysia, Australia, Korea, New Zealand atau Indonesia.

"Kita ada maklumat cuma kita tidak umumkan," katanya. - 17 November, 2025

The post Operasi kartel dibuat belakang tabir, elak jejas integriti siasatan rentas sempadan: Razarudin appeared first on Scoop.