Operasi Menyelamat Mangsa Banjir Di Baling Ditamatkan

6 Jul 2022 • 5:54 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penduduk setempat Nurul Atikah Ismail, 30, melihat keadaan rumah ibunya di Kampung Iboi yang mengalami kerosakan selepas dilanda banjir petang kelmarin. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Operasi menyelamat mangsa banjir di Baling, Kedah yang dijalankan sejak Isnin lalu ditamatkan secara rasminya hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan pantas ‘Wira Merah’ menggerakan kekuatan anggotanya di tahap optimum berjaya menyelamat dan memindahkan seramai 499 mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kesemua mangsa yang terdiri daripada 109 keluarga kini ditempatkan di tiga PPS.

“PPS itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai yang menempatkan 164 mangsa, SMK Agama Yayasan Khairiah (78 mangsa) dan Surau An-Nur di Taman Mesra Kupang (257 mangsa),” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut beliau, pasukan bomba bersama PBS (Pasukan Bomba Sukarela) turut diarah melaksanakan operasi pembersihan jalan dan kawasan rumah penduduk yang terjejas bagi memastikan mereka dapat pulang ke kediaman dengan segera.

Katanya, beliau juga akan memastikan pengurusan pasca banjir digerakkan agensi berkaitan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama rapat bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada komitmen anggota penyelamat, khususnya pasukan bomba dan agensi berkaitan serta badan sukarela.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang peka dengan situasi dialami mangsa menerusi pengumuman Bantuan Segera Untuk Mangsa Banjir Baling, biarpun kini beliau sedang sibuk dengan rangka lawatan rasmi ke Turki,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan peringkat awal bernilai RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa banjir di sini, manakala keluarga terbabit dengan kehilangan nyawa akan menerima sumbangan RM10,000.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus berkata, setakat ini sumbangan sudah disalurkan kepada lebih 100 keluarga di beberapa PPS di sini.

“Bagi bantuan keperluan lain untuk baiki rumah akan diuruskan pihak kerajaan kemudian. Mereka yang kehilangan rumah, pihak kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya.

Hujan lebat kira-kira tiga jam di Baling kelmarin, menyebabkan beberapa kawasan di daerah berkenaan dilanda banjir kilat.

Banjir buruk itu turut meragut tiga nyawa dengan dua daripada mereka adalah wanita hamil bersama ibu mentuanya. - Getaran, 6 Julai 2022