SUBANG– Sebanyak 11 empangan utama yang berada pada tahap waspada, amaran dan kritikal menjadi fokus pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di empat negeri bagi meningkatkan taburan hujan susulan cuaca panas ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara itu melibatkan Perlis, Kedah, Perak dan Johor bermula Isnin hingga Rabu.
"Antara empangan yang terlibat ialah Empangan Timah Tasoh di Perlis; Empangan Ahning, Pedu dan Muda di Kedah; Empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak serta Empangan Lebam, Upper Layang, Lower Layang, Gunung Pulai dan Machap di Johor," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar di Pengkalan UdaraTentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pelaksanaan OPA merupakan langkah proaktif kerajaan selepas beberapa aspek teknikal dan keadaan atmosfera dikenal pasti sesuai bagi meningkatkan taburan hujan.
"Faktor seperti pembentukan awan mencukupi, pergerakan angin yang menyokong, kestabilan udara serta tahap kelembapan tinggi diambil kira bagi memastikan keberkesanan operasi.
“Selain itu, potensi pembentukan awan kumulus menara yang mampu berkembang turut menjadi penentu kejayaan operasi ini bagi menghasilkan hujan di kawasan sasaran,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pasukan teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia menggunakan sebanyak 200 kilogram garam yang dilarutkan dalam 1,500 liter air bagi satu tangki dalam operasi berkenaan.
"Sebanyak empat tangki bancuhan air garam dimasukkan ke dalam pesawat C-130 Hercules milik TUDM sebelum diterbangkan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki untuk proses semburan ke dalam awan.
“Air garam ini membantu mempercepat pembentukan titisan air sehingga menghasilkan hujan yang kebiasaannya berlaku antara 30 hingga 60 minit selepas pembenihan dilakukan,” katanya.
Menurut beliau, keberkesanan operasi dipantau secara berterusan melalui analisis data cuaca dan jumlah taburan hujan oleh pihak meteorologi.
"Penghasilan hujan melalui OPA bukan sahaja mampu meredakan suhu panas, malah membantu meningkatkan paras air empangan yang semakin menyusut.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan bekalan air domestik, malah memberi kesan kepada sektor pertanian khususnya pengairan sawah padi selain industri perikanan dan pelancongan," katanya.
Beliau berkata, kegagalan menangani isu ini berpotensi memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan, pendapatan komuniti luar bandar serta kestabilan ekosistem setempat,.
"Kita berharap usaha berterusan melalui OPA dapat memastikan kesinambungan serta keselamatan bekalan air bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian sentiasa terjamin tanpa gangguan," ujarnya.
Dalam pada itu, OPA yang dilaksanakan di Kedah dan Perlis pada Isnin berjaya menghasilkan hujan di kawasan empangan utama yang terjejas.
Operasi melibatkan kawasan Empangan Muda, Pedu dan Ahning serta Empangan Timah Tasoh dengan penggunaan pesawat C130-Hercules.
Pelaksanaan operasi bermula pada jam 2.40 petang di kawasan Muda, Pedu dan Ahning sebelum diteruskan ke kawasan Timah Tasoh pada jam 3.25 petang.
Berdasarkan cerapan radar cuaca, hujan mula turun sekitar jam 3.30 petang di kawasan Empangan Muda sebelum menjadi lebih meluas dan berterusan meliputi semua kawasan sasaran di Kedah dan Perlis antara jam 6 petang hingga 8 malam.
Liputan hujan turut merangkumi kawasan tadahan utama empangan yang terlibat, taburan hujan di Perlis direkodkan antara 29.8 milimeter hingga 34.7 milimeter dalam tempoh sejam antara jam 7 hingga 8 malam, manakala di Kedah pula antara 9.3 milimeter hingga 30.9 milimeter dalam tempoh sama.
Operasi tersebut disifatkan berjaya apabila hujan dihasilkan di semua kawasan sasaran, sekali gus menunjukkan keberkesanan pelaksanaan dalam keadaan atmosfera yang sesuai.
