Operasi pindah gajah jantan liar lancar

10 Mar 2023 • 8:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gajah liar yang ditangkap dalam kawasan hutan berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai di sini berjaya ditarik keluar untuk dilepaskan di lokasi selamat pada Jumaat.

image is not available
Gajah denak, Abot dan Rambai yang dibawa dari PKGK Kuala Gandah digunakan dalam operasi memindahkan gajah jantan liar yang ditangkap dalam kawasan hutan berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai, pada Jumaat.

KUANTAN - Gajah jantan liar yang ditangkap dalam kawasan hutan kecil berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai, di sini berjaya dibawa keluar untuk dipindahkan ke lokasi sesuai dan selamat pada Jumaat.

Gajah yang dianggarkan seberat lebih dua tan itu dipindah jam 2.30 petang dibantu dua gajah denak, Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, sejak Selasa lalu.

Operasi pemindahan haiwan itu selesai kira-kira jam 5 petang dan dijangka akan terus dilepaskan di lokasi sesuai dan selamat pada hari sama.

Jurucakap PKGK Kuala Gandah berkata, operasi itu melibatkan 13 kakitangan PKGK Kuala Gandah dan dibantu lapan anggota Perhilitan Pahang.

"Operasi hari ini berjalan lancar dan haiwan ini dijangka dibawa ke lokasi sesuai untuk dilepaskan pada malam ini juga," katanya.

Gajah liar itu ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTG) pada Isnin lalu selepas menerima aduan penduduk berhubung kehadiran haiwan itu dalam kawasan hutan kecil berhampiran taman perumahan tersebut.

Haiwan itu dipercayai menjadikan Hutan Simpan Cerul, Kemaman sebagai habitat semula jadi sebelum tersesat hingga ke kawasan Bukit Rangin selepas terpisah dari kawanannya.

Berdasarkan keadaan tanah sekitar haiwan itu ditemui, ia dipercayai sudah berada di situ kira-kira seminggu lalu.