Operasi Pindahkan Pelajar UUM Terkandas Banjir Hatyai Bermula Pagi Ini

27 Nov 2025 • 10:08 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kumpulan pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap akibat banjir besar di Hatyai sejak Sabtu lalu dijangka dipindahkan pagi ini selepas situasi di kawasan tersebut terus meruncing.

Pelajar terkandas di Hatyai dibawa pulang

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasmi UUM, pihak universiti menjelaskan bahawa Konsulat Malaysia di Thailand kini menguruskan persediaan operasi, manakala beberapa NGO turut tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan proses pemindahan dapat dijalankan secepat mungkin.

image is not available

Foto: FB UUM

UUM memaklumkan bahawa pasukan bantuan sebelum ini telah cuba menghantar makanan dan keperluan asas menggunakan 12 bot menuju ke Hotel Wangburapa Grand, lokasi pelajar berlindung.

Artikel lain: Warga Hat Yai Prihatin, Masak Untuk Pelajar & Pensyarah UUM Terkandas Banjir

Bagaimanapun, arus deras yang semakin kuat menyebabkan bot-bot tersebut tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa berpatah balik.

image is not available

Foto: FB UUM

Hotel berkenaan dikatakan berada dalam kawasan paling terjejas kerana kedudukannya berhampiran sungai dan paras air dilapor naik sehingga melebihi satu tingkat bangunan, menjadikan laluan masuk mustahil untuk ditembusi apa jua kenderaan.

“Kami berharap segala urusan dipermudahkan dan semua yang terjejas dapat dibawa pulang dalam keadaan selamat,” katanya.
image is not available

Foto: FB UUM

Sebelum ini, media melaporkan 40 pelajar dan pensyarah UUM yang berada di bandar itu untuk program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 kini berdepan kekurangan bekalan makanan dan minuman.

Difahamkan mereka bergantung kepada bubur yang dicatu, selain seorang pelajar talasemia dilaporkan kehabisan ubat penting.

image is not available

Foto: FB UUM

Rombongan tersebut sepatutnya pulang ke Malaysia pada Sabtu lalu, namun banjir besar yang menenggelamkan sebahagian kawasan Hatyai menyebabkan mereka terperangkap di hotel tanpa bekalan elektrik dan air, sekali gus menyukarkan apa-apa bentuk pergerakan dan bantuan.

Sumber: Facebook @Universiti Utara Malaysia

The post Operasi Pindahkan Pelajar UUM Terkandas Banjir Hatyai Bermula Pagi Ini appeared first on Borak Daily.