Operasi Sukan Asia Hangzhou 2022 Dikuasakan Perkomputeran Awan Alibaba Cloud

TechnologyDigital
26 Sep 2023 • 4:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Minggu ini berlangsungnya acara Sukan Asia Hangzhou 2022 dan sebagai salah satu syarikat berteraskan teknologi berpangkalan di Hangzhou, Alibaba Cloud telah memperkasa operasi terpenting kejohanan ini menerusi sistem pengkomputeran awan mereka dengan pelbagai teknologi terkini.

image is not available

Ini bukanlah kali pertama Alibaba Cloud menyediakan solusi perkhidmatan awan, kerana mereka telahpun sebelum ini menyediakan perkhidmatan yang sama untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi sukan ‘Curling’, dan kali ini, mereka bertanggungjawab untuk solusi seperti Sistem Pengurusan Sukan, Sistem Pemarkahan, dan juga Sistem Sokongan untuk setiap sukan.

image is not available

image is not available

Sistem Pengurusan Sukan yang disediakan Alibaba Cloud bertujuan untuk mengurus petugas media dan juga atlit, staf, sukarelawan, dan kesemua tenaga kerja yang terlibat dalam menjayakan Sukan Asia Hangzhou kali ini. Kebanyakan urusan ini menggunakan Dingtalk, yang merupakan salah satu aplikasi dari Alibaba yang asalnya bertujuan untuk pengurusan syarikat, namun dapat digunakan untuk tujuan yang sama sewaktu acara sukan Asia ini.

image is not available

Sistem Pemarkahan merupakan salah satu sistem terpenting didalam mana-mana acara, dan Alibaba Cloud telah menyediakan infrastruktur untuk sistem pemarkahan yang lengkap dan pantas, berteraskan sistem pengkomputeran awan. Malah kesemua maklumat pemarkahan tidak lagi menggunakan pelayan (server) secara fizikal, dan menjamin penggunaan tenaga yang lebih lestari.

Bagi menjamin kelestarian Sukan Asia Hangzhou 2022 ini, Alibaba Cloud turut menyediakan platform operasi bagi menguruskan fasiliti, lokasi, dan juga logistik seharian. Mereka telah membina sistem bagi memantau trafik dan kesesakan penonton, dan memberikan cadangan perjalanan alternatif buat atlit mahupun penonon. Malah sekiranya terdapat sesuatu lokasi yang terlalu sesak, sistem akan memberikan amaran bagi mencadangkan langkah pencegahan untuk menjamin keselamatan semua. 

image is not available

Dan melengkapkan kesemua pengalaman sukan ini adalah sistem penyiaran berteraskan perkomputeran awan yang disediakan Alibaba Cloud. Menerusi sistem sebegini, ia tidak menggunakan kos yang tinggi sepertimana sistem penyiaran sukan yang berasaskan satelit. Sistem penyiaran satelit biasanya memakan kos yang tinggi dari segi kelengkapan dan juga masa, namun dengan sistem penyiaran berteraskan perkomputeran awan, Alibaba Cloud turut menyediakan siaran pada resolusi HD dan UHD untuk 68 saluran.

image is not available

Sehingga kini, dari Sukan Olimpik Tokyo 2020, sehinggalah kepada acara Minggu E-Sukan Olimpik, platform Alibaba Cloud telah banyak digunakan secara menyeluruh, dan membolehkan mereka turut melakukan inovasi berterusan pada setiap acara. Mungkin masa hadapan kelak lebih banyak acara sukan, baik antarabangsa mahupun tempatan akan dijalankan secara perkomputeran awan. Malah Alibaba Cloud juga turut akan menyediakan perkhidmatan perkomputeran awan mereka untuk Sukan Olimpik Paris 2024 untuk penyiaran, urusan logistik, dan juga penjejakan tanpa sensor jadi sama-sama kita nantikan tahun hadapan.