Operator pusat rekreasi kena peka perubahan cuaca

LocalEnvironment
26 Jul 2026 • 7:43 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Operator pusat rekreasi kena peka perubahan cuaca

KUALA TERENGGANU: Operator pusat rekreasi sungai perlu sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mengutamakan aspek keselamatan sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk risiko kepala air.

Pengurus Belukar Bukit Kayak Adventure Park di Hulu Terengganu, Najib Alias berkata, pusat rekreasi itu mempunyai dua kawasan iaitu kawasan rekreasi terbuka untuk kunjungan orang awam serta kawasan aktiviti yang dikendalikan operator Jenoba Outdoor dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Betong.

Katanya, kawasan rekreasi ter­buka lebih sesuai untuk aktiviti santai seperti berkelah dan bermandi-manda kerana kedalaman sungai tidak berbahaya.

“Bagaimanapun, bagi kawa­san yang dikendalikan operator, setiap pengunjung diwajibkan mengikuti taklimat keselamatan sebelum menyertai sebarang aktiviti.

“Kita turut memasang tali rentang di kawasan air dalam sebagai sempadan keselamatan selain papan tanda amaran dan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan kepada peserta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Najib, keadaan di bahagian hulu pusat rekreasi itu yang mempunyai empangan berfungsi sebagai penampan sekiranya berlaku hujan lebat.

Katanya, peningkatan paras air biasanya berlaku secara be­ransur-ansur dan bukannya men­dadak.

Namun tindakan se­gera akan diambil dengan me­ngarahkan pe­ngunjung me­ni­nggalkan kawasan sungai sekiranya berlaku perubahan ketara.

“Berdasarkan pemerhatian kami, ketika bukan musim monsun, paras air hanya meningkat kira-kira satu meter dalam tempoh tiga jam walaupun hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata, semua operator tidak boleh mengambil mudah aspek keselamatan kerana perubahan cuaca boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Operator perlu sentiasa peka terhadap ramalan cuaca dan bersedia menghentikan aktiviti sekiranya keadaan tidak selamat,” katanya. – UTUSAN

The post Operator pusat rekreasi kena peka perubahan cuaca appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved