
KOTA BHARU - Orang ramai berpeluang menyaksikan 'oppa' beraksi menerbangkan wau pada Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025 yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok bermula Rabu hingga Sabtu ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, ia merupakan penyertaan kali pertama Korea Selatan, selain Jepun dan Ukraine.
"Tahun ini sebanyak 14 negara menyertai pesta wau tersebut antaranya China, Thailand, Singapura, Australia, Indonesia dan banyak lagi.
"Selain itu, peserta tempatan dari seluruh negara turut menjayakan pesta kali ini," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Menurut beliau, untuk tahun ini lokasi terpaksa dipindahkan ke Pantai Irama, Bachok selepas Pantai Geting, Tumpat sedang dinaik taraf.
Ujarnya, orang ramai khususnya peminat wau diseru untuk hadir memeriahkan acara tahunan yang berprestij ini.
Kamarudin memberitahu, pesta wau itu sudah memasuki kali ke-42 penganjuran.
"Pesta ini bukan sahaja memperkenalkan budaya kita ke peringkat antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan industri pelancongan warisan di Kelantan.
"Sebagai daya tarikan tambahan, pertandingan wau bercahaya akan diadakan pada hari Jumaat, bermula jam 9 malam," katanya.
Menurut beliau, pelbagai persembahan turut memeriahkan suasana sepanjang tiga hari penganjuran, antaranya persembahan dikir barat, pertunjukan permainan api (fireshow) dan lain-lain acara kebudayaan.
