Oppo A3x, telefon murah berkuasa Snapdragon 6s Gen 1 & skrin cerah 1,000 nits

TechnologyDigital
9 Aug 2024 • 7:31 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Pasaran telefon murah dilihat menyediakan tawaran yang semakin baik kebelakangan ini. Terbaru, kelihatan satu lagi telefon murah Oppo mula ditawarkan di Malaysia, tetapi masih belum diumum rasmi oleh Oppo sendiri. Ia adalah Oppo A3x.

Harga Oppo A3x

Beberapa penjual peranti telah dilihat menyenaraikan Oppo A3x dalam jualan mereka. Antaranya di Lazada dan Facebook. Terdapat beberapa varian disenaraikan dengan harga seperti berikut:

  • Oppo A3x (RAM 4GB + Storan 128GB) – RM499
  • Oppo A3x (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM599

Spesifikasi Oppo A3x

Di luar Malaysia, Oppo A3x telah dilancar di India tetapi dengan sokongan 5G. Sedangkan, spesifikasi di Malaysia lebih mirip dengan senarai di laman web Oppo Global tanpa 5G.

Oppo menggunakan cip Snapdragon 6s 4G Gen 1 di telefon ini, bersama RAM LPDDR4X dan storan eMMC 5.1. Agak menakjubkan kerana jarang kelihatan cip Qualcomm digunakan di peranti bawah RM500 sekarang.

Skrin sudah pasti jenis LCD, seluas 6.67-inci dengan resolusi HD 720p dan kadar penyegaran 90Hz. Tetapi mengagumkan, ia ada kecerahan setinggi 1000nits. Malah, Oppo menggunakan kaca Panda yang sangat teguh di atas skrin telefon.

Lubang kecil di atas skrin memuatkan kamera hadapan 5MP F2.0. Di belakang, ia ada kamera utama 8MP dan sensor ‘Flicker’ di bulatan kedua.

Satu lagi perkara menarik, Oppo A3x ada bateri berkapasiti 5,100mAh tetapi ia menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 2.0 45W melalui USB-C. Ia juga ada jek audio 3.5mm

Sistem operasi ColorOS 14 berasaskan Android 14 digunakan oleh Oppo A3x. Terdapat dua pilihan warna untuk telefon ini, antara biru dan merah. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Oppo A3x.

Bacaan Berkaitan