Acara pelancaran hari ini memperlihatkan Oppo Find N3 Flip secara rasminya memasuki pasaran Global. Melaluinya Oppo bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek prestasi, malahan turut menyediakan sistem kamera yang dipertingkatkan kualitinya.

Dari aspek rekaan peranti masih mengekalkan tubuh serba kompak bersama binaan engsel lebih baik. Ia juga disertakan ciri kalis air IPX4 pada engsel yang dijadikan sebagai pelindungan tambahan. Sistem tri-kamera dengan teknologi Hasselblad masih digunakan di belakang. Kemudian diikuti pula dengan skrin sekunder menegak diluar sebesar 3.26-inci AMOLED dengan kadar segar semula 60Hz.


Apabila dibuka pula peranti ini menawarkan skrin utama sebesar 6.8-inci LTPO AMOLED dengan nisbah aspek 20:9 dan kadar segar semula 120Hz. Oppo turut mendakwa peranti boleh berfungsi dengan baik mencapai 1,000,000 kali lipatann tanpa kesan yang ketara. Turut disertakan ialah sistem imbasan cap jari sisi yang dintegrasi pada butang kuasa, diikuti pula dengan butang Alert Slider dengan tiga pilihan kawalan iaitu senyap, dering dan getar.


Seterusnya peranti juga dilengkapi cip MediaTek Dimensity 9200, memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 512GB untuk tunjang utama. Ini digabung juga dengan bateri sebesar 4,300mAh dengan pengecasan 44W SUPERVOOC menerusi port USB-C. Konfigurasi kamera utama 50MP (utama) + 48MP (ultra-lebar) + 32MP (telefoto) dengan OIS, di samping kamera swafoto 32MP juga disertakan.

Lain-lain spesifikasi termasuk sokongan 5G, bluetooth 5.3, NFC, dual SIM + eSIM dan menjalankan ColorOS 13 yang dibina berasaskan Andoid 13. Bagi yang berminat peranti ini dijual di Malaysia dengan harga jualan RM4,399 sebuah.
