Oppstar meterai MoU kaji pembangunan produk litar bersepadu di China

Business & Finance
14 Jul 2023 • 9:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Oppstar meterai MoU kaji pembangunan produk litar bersepadu di China

diyana

14/07/2023 - 09:25

KUALA LUMPUR 14 Julai - Oppstar Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua pihak untuk bersama-sama menubuhkan syarikat pemegangan pelaburan dan syarikat produk berkaitan litar bersepadu di Shanghai, China.

Menurut makluman syarikat semikonduktor itu kepada Bursa Malaysia semalam, kedua-dua pihak ialah warga China, Chen Junhua dan Shenzhen City Yixin Investment (Perkongsian Terhad), sebuah syarikat berpangkalan di China yang melabur dalam industri baharu muncul seperti industri litar bersepadu.

Chen ialah pemegang saham kawalan Xiamen KirinCore IOT Technology Ltd, pelanggan utama Oppstar di China yang menyediakan reka bentuk litar bersepadu, pembangunan perisian, pemprosesan data dan perkhidmatan storan.

Oppstar berkata syarikat induk itu akan ditubuhkan untuk melabur dalam syarikat industri litar bersepadu, serta menubuhkan syarikat teknologi yang terlibat dalam pembangunan produk litar bersepadu dengan modal berbayar sebanyak 10 juta yuan.

Chen akan memegang 50% kepentingan dalam syarikat induk, diikuti oleh Oppstar dengan 45%, dan Shenzhen City Yixin baki 5%.

"Pada masa ini, Oppstar dan anak syarikatnya terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu di mana kumpulan itu membangunkan harta intelek (IP) dalam litar bersepadu yang kemudiannya, dimiliki oleh pelanggan.

“MoU itu akan membolehkan semua pihak memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing dan membolehkan mereka untuk membangun dan memiliki IP bersama. Ini berpotensi mewujudkan aliran hasil tambahan untuk Oppstar," katanya.

Tambahnya, tanggungjawab Oppstar di bawah perjanjian itu adalah untuk menyediakan pengetahuan dan kepimpinan teknikal dalam reka bentuk litar bersepadu dan pembangunan perniagaan, serta menyediakan sokongan teknikal untuk fungsi berkaitan.

Oppstar berkata usaha sama itu akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan kumpulan, dan menyediakan sinergi dan kemampanan perniagaan yang lebih besar melalui pengembangan kehadirannya di rantau Asia Timur Laut.

Saham Oppstar dibuka pada RM1.93 hari ini, menokok 2 sen atau 1.05% dengan modal pasarannya bernilai RM1.2 bilion. - DagangNews.com