
PETALING JAYA: CIMB Securities Sdn. Bhd. menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat pada 3 September ini.
Firma pemborkeran berkata, ini berikutan inflasi yang masih terkawal tidak memberikan keperluan mendesak untuk mengetatkan dasar monetari.
“Kenyataan MPC akan menjadi perhatian pasaran bagi melihat sebarang perubahan dalam penilaian BNM terhadap prospek inflasi dan imbangan risiko susulan prestasi pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku kedua 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam langkah segera yang berkuat kuasa 1 September bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup dan perniagaan.
Katanya, antara langkah itu termasuk mengembalikan kuota subsidi RON95 BUDI95 kepada 300 liter sebulan dan meningkatkan kuota BUDI Diesel sehingga 400 liter bagi pemilik kenderaan pikap serta pacuan empat roda (4WD) yang layak.
“Kerajaan turut meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi 2027 sebanyak 50 peratus kepada RM1.5 bilion, menyediakan langganan kecerdasan buatan (AI) percuma selama tiga bulan kepada belia Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang layak dan memperuntukkan RM1 bilion bagi pendigitalan penjagaan kesihatan awam.
“Selain itu, ambang pengecualian e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, manakala sokongan pembiayaan mikro diperluas sebanyak RM1 bilion,” ujarnya.
CIMB Securities berkata, langkah berkenaan dibuat ketika kedudukan fiskal negara kekal kukuh, dengan defisit terkumpul bagi tempoh tujuh bulan 2026 berjumlah RM47 bilion atau 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jelasnya, ini berbanding RM46.7 bilion atau 2.3 peratus daripada KDNK dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam pada itu, firma berkata, kecenderungan dasar monetari global yang semakin mengetat turut memberi tekanan menaik terhadap hasil bon di pasaran yang dasar monetarinya kekal stabil.
“Bank of Korea dan Bangko Sentral ng Pilipinas masing-masing menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada minggu lalu,” jelasnya
CIMB Securities berkata, Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) terus berdepan tekanan jualan untuk minggu ketujuh berturut-turut.
Firma pembrokeran berkata, tekanan itu berlaku walaupun hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) menunjukkan penurunan, dengan MGS 10 tahun mencatat prestasi lebih lemah apabila hasil meningkat lapan mata asas (bps) kepada 3.86 peratus.
Katanya, perbezaan hasil antara bon tiga tahun dan 10 tahun (3s10s) melebar kepada 51 mata asas daripada 43 mata asas pada 21 Ogos.
“Tekanan menaik terhadap hasil MGS berterusan ketika pasaran menyerap jadual penerbitan kerajaan yang sarat dengan sekuriti berdurasi panjang. Daripada baki 11 lelongan, lapan tertumpu dalam sektor 10 hingga 30 tahun,” ujarnya.
CIMB Securities berkata, keadaan itu turut berlaku ketika aliran penerbitan bon korporat kekal kukuh susulan aktiviti pelaburan yang berdaya tahan, sekali gus meningkatkan persaingan mendapatkan kecairan daripada pelabur institusi domestik.
Menurutnya, gabungan faktor berkenaan menunjukkan keluk hasil berkemungkinan terus menjadi lebih curam.
“Pengembalian perbezaan hasil 3s10s kepada purata 10 tahun sebanyak 54 mata asas akan meletakkan hasil MGS 10 tahun sekitar 3.90 peratus dalam tempoh terdekat.
“Jangkaan itu turut mengambil kira tiga lelongan bon kerajaan yang dijadualkan pada September, bermula dengan terbitan Sekuriti Pelaburan Kerajaan Malaysia (GII) 10 tahun 07/36,” ujarnya. – UTUSAN
The post OPR dijangka kekal, pengumuman Anwar kurang tekanan kos sara hidup appeared first on Utusan Malaysia.




