OPR diramal kekal pada paras 3.00 peratus sepanjang 2024, kata MIDF Research

LocalBusiness & Finance
5 Sep 2024 • 5:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OPR diramal kekal pada paras 3.00 peratus sepanjang 2024, kata MIDF Research

azan

05/09/2024 - 17:43

KUALA LUMPUR 5 Sept - MIDF Research mengekalkan unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada kadar 3.00 peratus sepanjang tahun ini.

Katanya, walaupun tumpuan Bank Negara Malaysia (BNM) memastikan pertumbuhan kekal mampan tetapi mereka melihat tiada sebarang keperluan untuk perubahan dalam penetapan dasar monetari berikutan tekanan inflasi yang sederhana.

"Walaupun permintaan domestik terus berkembang, tekanan permintaan asas kekal terkawal, melihat kepada inflasi teras yang masih rendah.

"Tiada sebarang perubahan pada kadar OPR pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa inflasi dan pertumbuhan.

Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berterusan disebabkan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus menurun dan dasar monetari yang kurang ketat.

Firma penyelidikan itu menjangkakan, BNM akan lebih fokus untuk menyokong ekonomi kerana prospek pertumbuhan jangka pendek mungkin dikekang oleh pertumbuhan perlahan di China, peningkatan risiko geopolitik baru-baru ini di Asia Barat dan Eropah.

Selain itu terdapat juga potensi kelembapan dalam ekonomi maju, dikekang oleh tekanan kewangan yang ketat.

"BNM mempunyai ruang yang mencukupi untuk melaraskan dasar monetari bagi menangani sebarang risiko ketidakstabilan yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi Malaysia seperti tekanan harga dan peningkatan berterusan dalam hutang isi rumah," katanya.- DagangNews.com