OPR diunjur kekal pada paras 3% hingga akhir tahun - AmBank

Business & Finance
7 Sep 2023 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OPR diunjur kekal pada paras 3% hingga akhir tahun - AmBank

azan

07/09/2023 - 16:37

KUALA LUMPUR 7 Sept - AmBank Economic Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3% sehingga akhir tahun ini.

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kepada sokongan permintaan domestik yang positif berikutan ketidaktentuan luaran yang berterusan dan tekanan inflasi yang semakin surut di Malaysia selepas inflasi utama menyusut kepada 2% pada Julai lalu.

Katanya, Mesyuarat terakhir untuk Jawatakuasa Dasar Monetari (MPC) dijadualkan pada 1 hingga 2 November 2023, iaitu tiga minggu selepas Belanjawan 2024.

"Sekiranya terdapat panduan yang lebih jelas mengenai rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan model gaji progresif, kami akan menyemak semula jangkaan OPR kami untuk 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma itu mengunjurkan aktiviti dagangan yang lebih perlahan untuk baki tahun ini disebabkan oleh prospek ekonomi global yang pesimis.

Selain itu ia juga adalah kesan daripada kadar faedah yang lebih tinggi dalam sektor teknologi.

"Walau bagaimanapun, tanda-tanda peningkatan dalam indeks sektor semikonduktor PHLX menunjukkan bahawa kemerosotan dalam industri berkaitan teknologi mungkin telah berakhir.

"Memandangkan penghantaran berkaitan E&E Malaysia merangkumi sekitar 44.6% daripada keseluruhan eksport, menggunakan indeks ini sebagai proksi, prestasi perdagangan akan pulih menjelang suku keempat tahun ini," katanya. - DagangNews.com