Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 8 Julai lalu, jemaah menteri telah sebulat suara memutuskan caruman Skim LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi mandatori kepada semua pekerja Malaysia dan dilakukan secara sukarela.
Keputusan ini diumumkan selepas PERKESO memperkenalkan skim tersebut yang telah berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.
Meskipun caruman buat pekerja di Malaysia tidak diwajibkan, namun anda perlu melakukan opsyen dikecualikan (opt out) sekiranya tidak mahu menyertai skim berkenaan memandangkan caruman ini adalah automatik.
Pengguna Tidak Lagi Mencarum Sekurang-kurang RM45 Dari Gaji Jika Opt Out
Keputusan untuk menarik diri daripada skim itu bermakna pekerja tidak lagi perlu mencarum sekurang-kurangnya RM45 sebulan iaitu 0.75% daripada gaji namun mereka akan kehilangan perlindungan 24 jam yang ditawarkan skim terbabit sebaliknya kekal dengan perlindungan terdahulu iaitu ketika waktu bekerja sahaja.
Baca Artikel Berkaitan: Caruman Skim LINDUNG 24 Jam Masih Mandatori Untuk Pekerja Asing – Ramanan
Baca Artikel Berkaitan: Caruman Skim LINDUNG 24 Jam Kepada Pekerja Tidak Lagi Mandatori – Fahmi Fadzil
Bagaimana Nak Opt Out Dari Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO, Ini Cara-caranya
Berikut adalah langkah-langkah untuk opt out dari Skim LINDUNG 24 Jam seperti dikongsikan PERKESO:
#1 Daftar & Log In Portal LINDUNG 24 Jam
Pertama sekali, layari portal Lindung Faedah [DI SINI] dan klik ‘Log in’ jika ID telah wujud.
Jika belum daftarkan diri sebagai pengguna baharu dan isi semua maklumat yang diminta termasuklah nama penuh, nombor kad pengenalan (MyKad), e-mel dan sebagainya.

#2 Isi Bahagian Notis Pelepasan Liabiliti Skim LINDUNG 24 Jam
Selepas berjaya log in, pengguna akan dibawa ke skrin paparan Notis Pelepasan Liabiliti Skim LINDUNG 24 Jam.
Jika muktamad mahu terkecuali daripada skim ini, tekan batal ‘X’ pada bahagian Perakuan Pekerja di bahagian bawah.

Kemudian, tandakan ‘✓’ pada perakuan pengesahan sebelum klik butang ‘Hantar’.

#3 Sahkan Tidak Mahu Menyertai Skim LINDUNG 24 Jam
Selepas itu skrin akan memaparkan mesej pengesahan ‘Tidak Menyertai’ Skim Perlindungan 24 Jam.
Apa yang perlu anda lakukan adalah klik butang oren di bawah yang bertulis ‘Sahkan, Saya Tidak Mahu Menyertai‘.

Selepas itu, jangan lupa tekan butang ‘OK’ selepas deklarasi berjaya dihantar dan muat turun notis pemaklumkan tersebut.

Bagi tujuan rekod majikan, pekerja boleh menyerahkan Notis Pelepasan Liabiliti Skim Lindung 24 Jam ini dengan menandatangani notis dan memasukkan tarikh deklarasi dibuat di portal Lindung Faedah.
Di bawah ini adalah contoh Notis Pelepasan Liabiliti Skim Lindung 24 Jam:

Tarikh Akhir Opt Out Skim LINDUNG 24 Jam Pada 31 Ogos 2026
Untuk info, Notis Pelepasan Liabiliti caruman perlu dilengkapkan dan dihantar sebelum 31 Ogos 2026.
Sekiranya tiada notis untuk tidak menyertai skim ini sehingga tarikh akhir, penyertaan anda akan diaktifkan secara automatik oleh PERKESO.
Faedah Yang Ditawarkan Dalam Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO
Jika pekerja tidak menyertai skim ini, anda tidak layak menerima faedah seperti berikut:
- Faedah Perubatan
- Faedah Hilang Upaya Sementara
- Faedah Hilang Upaya Kekal
- Faedah Orang Tanggungan
- Faedah Pengurusan Jenazah
- Pemulihan Fizikal dan Vokasional
- Elaun Layanan Sentiasa (jika berkenaan)
- Faedah Pendidikan
Caruman Pada Jun 2026 Adalah Mandatori & Tak Boleh Buat Tuntutan Bayaran Balik
Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimanakah dengan caruman yang sudah ditolak pada Jun 2026. Memetik FAQ PERKESO, caruman pada bulan lalu adalah mandatori dan pengguna tidak boleh menuntut bayaran balik.
Untuk menyemak status caruman, anda boleh layari Portal PRIHATIN [DI SINI] atau menerusi aplikasi PRIHATIN.
Baca Artikel Berkaitan: Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO Bukan Beban Sebaliknya Perlindungan Untuk Keselamatan Pekerja – Ramanan





