
GWM telah memperlihatkan ORA 5 HEV pada acara KLIMS 2026. Crossover urban kompak ini dikuasakan oleh sistem hibrid pintar Hi2, yang menggabungkan kecekapan bahan api dan prestasi pemanduan dalam satu pakej. Teknologi tersebut direka bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih responsif tanpa mengorbankan aspek penjimatan bahan api.

ORA 5 HEV menghasilkan kuasa maksimum 223 PS dan tork 476 Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 7.7 saat. Pada masa sama, model ini menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.4L/100 km serta jarak pemanduan melebihi 1,100 km. Dengan dimensi yang kompak tetapi ruang kabin yang luas, ia sesuai digunakan untuk pemanduan harian di bandar mahupun perjalanan jarak jauh.

Model ini turut menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa. ORA 5 telah dinobatkan sebagai penerima anugerah “Design of the Year” di London Design Awards 2025, selain mencatat rekod GUINNESS WORLD RECORDS bagi penggunaan bahan api terendah oleh SUV hibrid pengeluaran dalam cabaran pemanduan sejauh 3,004 km di China.

Dari segi rekaan, ORA 5 HEV mengekalkan identiti unik jenama ORA menerusi lampu hadapan berinspirasikan titisan air, lampu belakang tersembunyi dan rim aerodinamik bercorak kelopak bunga. Disasarkan kepada golongan profesional muda, pasangan dan pengguna bandar moden, model ini menawarkan gabungan gaya, teknologi pintar dan kepraktisan yang selari dengan visi mobiliti masa hadapan GWM.


