Ora Good Cat: EV paling mampu milik kini di Malaysia, harga bawah RM140,000

Cars
28 Nov 2022 • 9:49 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Pada hari ini pasaran Malaysia telah menerima penyertaan baharu dalam keluarga kereta elektrik (EV). Syarikat daripada China, Great Wall Motor (GWM) telah memperkenalkan Ora Good Cat. Setakat ini, Ora Good Cat adalah EV paling mampu milik di Malaysia dan spesifikasinya bukannya biasa-biasa.

Harga Ora Good Cat di Malaysia

GWM menawarkan dua varian Ora Good Cat di Malaysia dan harganya adalah seperti berikut:

  • Ora Good Cat 400 Pro – RM139,800
  • Ora Good Cat 500 Ultra – RM169,800

image is not available

Kedua-dua varian ini berbeza daripada segi komponen dan selanjutnya jarak kembara. Sebelum kita pergi ke spesifikasi, jaminan yang GWM selaputi kereta mereka adalah baik dan ia melambangkan keyakinan pengeluarnya ke atas Ora Good Cat ini. Di dalam majlis pelancaran, GWM memberitahu yang kereta mereka diberikan:

  • jaminan 5 tahun atau 150,000km untuk kereta
  • jaminan 8 tahun atau 180,000km untuk kelengkapan bateri
  • percuma upah selenggara sebanyak 5 kali
  • kelengkapan pengecasan kereta di rumah percuma

Spesifikasi Ora Good Cat

Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Ora Good Cat adalah sebuah EV yang comel. Rekaannya banyak mengguna pakai garisan kontur yang beralun dan bukannya geometri tajam seperti kebanyakan EV lain dalam pasaran. Nampak saja kecil, ia sebenarnya lebih hampir kepada SUV kompak sekitar Proton X50, Honda HRV, dan yang sekelas dengannya. Lihat saja roda bersaiz 18" yang dimilikinya.

image is not available

Beralih ke bahagian dalam, mewah dan ekslusif adalah antara adjektif yang boleh disematkan padanya. Untuk sebuah kereta berharga bawah RM140,000 ia banyak gunakan kemasan lembut kulit sintetik dan bukannya plastik keras bertekstur kulit. Antara varian, bahagian kabin kedua mereka ada berbezaan minimum sahaja. Anda masih beroleh sistem hiburan dalam kereta dengan paparan LCD 10.25" dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

image is not available

Beza yang boleh anda perhatikan adalah di bahagian audio iaitu varian 500 Ultra dilengkapi 6 speaker manakala 400 Pro 4 speaker. Untuk tempat duduk pemandu, hanya 500 Ultra menerima kerusi elektrik sepenuhnya manakala 400 Pro kerusi manual.

image is not available

EV ini dipacu motor elektrik yang dipasang di gandar depan kereta. Motor ini menghasilkan 141hp dengan daya kilas setinggi 210Nm. Berdasarkan helaian spesifikasi, jentera ini mampu memecut daripada sifar kepada 100km/j dalam tempoh 9.2 saat dan kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik pada paras 152km/j.

image is not available

Walaupun motor yang sama menguasakan kereta ini, jarak kembara mereka adalah berbeza dan ia boleh dikenal pasti melalui angka dalam nama varian. 400 Pro bermakna ia boleh pergi sejauh 400km manakala 500 Ultra boleh pergi sejauh 500km. Perbezaan jarak kembara ini dicapai melalui bateri yang lebih besar iaitu 63.1kWh berbanding 47.8kWh pada varian yang lebih murah.

image is not available

Apabila ingin dicas, kereta ini menyokong sistem AC 6.6kW yang mengisi penuh bateri dalam masa sekurang-kurangnya 8 jam. Untuk pengecasan lebih pantas, sistem pengecasan DC 60kW boleh mengisi daripada 30% kepada 80% dalam masa 32 minit (400 Pro) dan 40 minit (500 ultra).

image is not available

Untuk mengecas, kereta ini menggunakan sambungan CCS2 dan AC Type-2.

Ora Good Cat hadir dengan pelbagai Sistem Bantu Pandu Maju (ADAS) seperti Kawalan Kembara Adaptif, Brek Kecemasan Berautonomi, Bantuan Kekal Lorong, dan Bantuan Pemusat Lorong. Varian lebih tinggi menerima semua yang disebutkan tadi beserta beberapa ciri tambahan seperti Bantuan Menggundur Automatik, Parking Automatik Sepenuhnya, Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Bantuan Lencongan Kecemasan, dan Amaran Pintu Terbuka.