
GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tuel, Pos Balar dan Pos Belatim terpaksa merisikokan keselamatan diri menaiki motosikal menyusuri kawasan tanah runtuh berikutan hujan yang berterusan dalam tempoh monsun timur laut ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tuel, Atan Alang, 42, berkata sebahagian daripada 500 penduduk di pos tersebut bertindak berani melintasi kawasan tanah runtuh di laluan utama melalui Pos Hendrop sejak tiga hari lepas untuk keluar melakukan aktiviti harian.
Katanya penduduk dari Kampung Hanir, Kampung Gere, Kampung Perlug dan Kampung Tuel tiada pilihan lain memandangkan kerja-kerja membaik pulih dari agensi yang terlibat dikhuatiri akan memakan masa yang lama disebabkan cuaca hujan.
“Kita tahu bahaya yang mungkin akan berlaku ketika melalui kawasan itu tetapi kami tiada pilihan serta terpaksa keluar bekerja dan melalukan pelbagai urusan harian di sekitar Tanah Tinggi Lojing.
“Kita dapat tahu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mula menghantar bantuan makanan tetapi tidak pasti sama ada kampung kami tersenarai ataupun tidak jadi kita tetap perlu keluar membeli bekalan makanan kerana penjaja tidak masuk berniaga ke sini ketika musim hujan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Belatim Roireng Ngah, 30, berkata laluan Pos Belatim-Pos Bihai-Kuala Betis turut mengalami kejadian sama malah tanah runtuh berlaku di lebih dari satu kawasan di sepanjang laluan itu.
Roireng berkata keadaan jalan menjadi semakin buruk dan ditambah pula dengan lumpur tebal di sesetengah kawasan terutamanya dari Pos Bihai ke Kuala Betis.
“Isnin lalu sekumpulan penunggang motosikal terpaksa mengharungi kawasan tanah runtuh dan bergotong-royong menarik keluar motosikal yang tersangkut di dalam lumpur setinggi kira-kira setengah meter. Mereka juga perlu menyusup di bawah batang pokok yang tumbang, selain bermandikan air lumpur yang turun dari cerun yang runtuh,” katanya.
Menurut penduduk Pos Balar Kamal Alek, 38, pada Isnin lalu, 20 orang penduduk terpaksa menempuh lebih 15 jam perjalanan ke Kuala Betis bagi mendapatkan barangan keperluan di Bandar Gua Musang.
“Kami terpaksa meredah kawasan tanah runtuh serta Sungai Ara dengan motosikal meskipun arus deras dan paras air sangat berbahaya.
“Antara kawasan tanah runtuh yang teruk adalah di laluan bukit bertanah merah ke Pos Balar, di Kampung Tapai dan di Bukit Pasir,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan berkata pihaknya telah menerima beberapa aduan berkenaan masalah yang membabitkan tanah runtuh dan jalan perhubungan yang terputus sepanjang minggu ini.
“JAKOA ingin menasihatkan masyarakat Orang Asli untuk kekal berada di rumah buat masa ini sementara kami dapatkan bantuan daripada pihak yang lebih pakar untuk tangani masalah tanah runtuh. Ini kerana kami khuatir kesan runtuhan akan menjadi lebih teruk jika dilalui, lebih-lebih lagi ketika musim hujan,” katanya. -Bernama

