
PUTRAJAYA – Penjawat awam berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian imbuhan kewangan menerusi Belanjawan 2027 termasuk penawaran bonus sebagai tanda penghargaan kepada prestasi kerja selain berperanan membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Muhammad Mihrab Zain Azman berkata, kesejahteraan penjawat awam khususnya menerusi peningkatan pendapatan boleh guna perlu diberi perhatian termasuk melibatkan aspek insentif perumahan dan kesihatan.
“Selain itu, mungkin boleh diperkenalkan insentif berasaskan prestasi dan produktiviti sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang menunjukkan prestasi serta memberikan impak tinggi kepada rakyat.
“Bagi saya, apabila kebajikan penjawat awam terpelihara, mereka dapat memberikan tumpuan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, bagi Mukram Kamal, penawaran insentif kewangan kepada penjawat awam menerusi Belanjawan 2027 membolehkan golongan itu membuat pelbagai persediaan termasuk keperluan sekolah anak-anak tahun hadapan.
“Imbuhan kewangan yang diberikan kerajaan kepada penjawat awam bukan sahaja meringankan beban, namun dilihat sebagai satu bentuk penghargaan untuk terus bekerja keras kepada rakyat,” katanya.
Muhammad Mu’izzuddin Mat Samsudin pula berharap agar kerajaan terus memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam, terutama dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Saya juga berharap agar ada usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan kami sebagai penjawat awam yang mana ia bukan sahaja daripada segi pendapatan dan elaun, tetapi daripada aspek peluang peningkatan kerjaya dan persekitaran kerja yang lebih baik,” katanya.
The post Orang ‘gomen’ harap ada bonus, imbuhan appeared first on Kosmo Online.






