‘Orang itu digari dengan baju oren, tidak puas hati lagi ke?’ – Anwar

LocalPolitics
2 Dec 2025 • 1:56 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pembangkang yang masih mempertikai siasatan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan tanpa campur tangan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, tuduhan kononnya wujud layanan istimewa kepada Shamsul adalah tidak berasas kerana individu itu ditahan, digari dan memakai pakaian lokap seperti pesalah lain.

“Orang itu digari dengan baju oren. Saya rasa banyak kes berat lain pun tidak digari. Tidak puas hati lagi ke?” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Baca juga:

Tiada campur tangan, SPRM bebas siasat

Anwar menegaskan beliau tidak pernah mempertahankan Shamsul atau memberi arahan kepada SPRM. Katanya, agensi itu bebas menjalankan siasatan mengikut prosedur dan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak, termasuk bekas kakitangannya sendiri.

“Saya tidak tegur sepatah pun kepada SPRM. Saya sudah bagitahu, dia bebas untuk siasat, dia siasatlah,” katanya menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang mencadangkan kerajaan memperketat audit dalaman terhadap pegawai menteri.

Shamsul direman enam hari sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes pemberian rasuah melibatkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei. Beliau meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri selepas mendakwa wujud usaha terancang untuk menjatuhkan reputasinya dan mencemar imej kerajaan.