Orang Ramai Akui Peranan Pengamal Media 'Perangi' Berita Palsu, Saluran Info Tepat

27 May 2023 • 8:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
The Vibes dan Getaran turut serta dalam Karnival Mini sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang berlangsung di Mydin Mall, Meru Raya, Ipoh, hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

IPOH - Peranan pengamal media dalam menyediakan informasi sahih tidak dapat disangkal apatah lagi pada zaman teknologi maklumat yang menyaksikan penyebaran berita palsu melalui media sosial berleluasa.

Bagi pengunjung Karnival Mini sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang sedang rancak berlangsung di Mydin Mall, Meru Raya di sini, pameran yang berlangsung banyak memberi maklumat bagaimana media berfungsi menyediakan berita sahih kepada orang ramai.

Rata-rata mereka berpandangan maklumat dan informasi tepat daripada pengamal media memudahkan orang awam untuk mengetahui isu semasa dengan pantas dan benar.

Anggota polis Mohd Rizan Ishak, 35, berkata peranan pengamal media menyalurkan maklumat melalui liputan di dalam dan luar bandar adalah amat penting kepada masyarakat.

“Saya rasa peranan mereka (pengamal media) amat penting kerana ia memudahkan orang awam mendapatkan informasi yang terbaharu.

“Maklumat juga pantas diperoleh lebih-lebih lagi jika ingin mendapatkan perkembangan terkini tentang sesuatu isu semasa contohnya kes pembunuhan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di karnival itu di sini hari ini.

image is not available
Pelbagai aktiviti menarik sedang berlangsung di Karnival Mini HAWANA yang bermula hari ini hingga esok.

image is not available
Karnival Mini sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 sedang rancak berlangsung di Mydin Mall, Meru Raya.

Sementara itu, seorang penjawat awam Khairiah Abd Rashid, 38, berkata dia melanggan beberapa organisasi berita secara dalam talian kerana ingin mendapatkan maklumat dengan pantas. 

“Sekarang ini zaman di hujung jari yang kita hanya boleh mencarinya melalui aplikasi dalam talian. Saya tidak selesa membaca berita daripada ‘portal’ kerana sering mendapat maklumat yang tidak tepat,” katanya.

Nur Farzana Hazim, 10, pula berkata kunjungan ke karnival itu bersama keluarganya mencambah minatnya untuk menjadi warga media apabila dewasa nanti.

“Saya suka melihat wartawan membaca berita melalui televisyen kerana dilihat menarik dan berani. Saya ada tengok berita pada waktu malam dengan keluarga. Saya mahu jadi wartawan apabila besar nanti kerana lihat pembaca berita sangat cantik dan tampan dalam televisyen,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik sedang berlangsung di Karnival Mini HAWANA yang bermula hari ini hingga esok seperti slot interaksi bersama personaliti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), sesi ‘pocket talk’ ‘sayadigital’ serta sesi temu mesra bersama artis dan selebriti tempatan.

Tidak ketinggalan program santai 30 minit bersama beberapa agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), RTM, CyberSecurity Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Wartawan Sarawak (Media Sarawak), Jabatan Penerangan (JaPen), Tourism Perak, Tourism Selama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). - Bernama