
JOHOR BAHRU – Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memilih makanan bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan hingga melibatkan kematian sebagaimana yang berlaku di Jalan Sin Tiam, Chamek, Kluang, Isnin lalu.
Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon, pasangan suami isteri itu disahkan mengalami keracunan makanan setelah memakan ikan buntal yang diperolehi melalui pesanan di laman Facebook.
“Kes ini dianggap sebagai keracunan makanan disebabkan ikan buntal, malah Cause of Death Kes Indeks diletakkan sebagai 'Food poisoning with neurological manifestation resulting in respiratory failure with cardiac dysrhythmmia possible due to toxin ciguatera / tetradotoxin ingestion' yang diperolehi daripada ikan buntal.
“Bagaimanapun, sehingga kini, tiada laporan mengenai kes baharu dan semua ikan yang dijual pada tarikh yang sama telah pun diambil oleh pejabat kesihatan daerah berkaitan untuk tujuan analisis.
“Malah pada masa sama, pemborong ikan juga tidak lagi mengambil stok ikan buntal setelah Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat berbincang serta menjalankan siasatan,” katanya pada Selasa.
Untuk rekod, pasangan suami isteri terbabit telah mendapatkan bekalan ikan buntal berkenaan daripada pihak penjual secara 'pre order' menerusi Facebook
Pesanan ikan buntal itu diterima pada pagi 25 Mac lalu sebelum dibersihkan dan digoreng untuk dijadikan hidangan makan tengah hari bersama sayur dan daging khinzir.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan kemudiannya telah dibawa ke hospital setelah menunjukkan gejala sesak nafas, menggigil dipercayai setelah memakan ikan buntal terbabit.
Sementara itu, Tian Soon berkata, ketika ini kes indeks (suami pasangan berkenaan) masih lagi berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menerima rawatan.
“Saya ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa. Saya juga mengingatkan agar warga Johor untuk sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ianya mempunyai risiko.
“Kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan terus memantau dan memastikan keselamatan makanan khususnya di Johor terjamin,” katanya.

