
TANAH MERAH: Biarpun perlu beratur selama dua jam, orang ramai terus melakukannya dengan sabar bagi memastikan mereka dapat membeli barangan keperluan pada harga diskaun 20 peratus, sempena Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Panau, hari ini.
Farid Dulah, 21, berkata sebagai seorang buruh, program jualan murah itu memberi kesan yang amat besar kepada perbelanjaan bulanannya.
“Saya sanggup beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan hari ini, pembelian hari ini dapat bertahan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.
“Kebiasaannya untuk setiap pembelian, saya perlu berbelanja kira-kira RM100, namun menerusi PJMKM Dun Bukit Panau hari ini, barangan yang sama saya hanya perlu membayar RM80, baki RM20 boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya ketika ditemui Bernama di pasar raya Blimbey Enterprise, di sini hari ini.
Pengurus Pasar Raya itu Nor Zianal Abdul Razak, 41, berkata orang ramai sudah beratur di premis tersebut sejak 8 pagi.
“Program jualan hanya bermula 10 pagi, namun saya terkejut apabila sampai tadi di kedai tadi sudah ramai yang beratur.
“Susu, minyak masak dan beras antara barangan yang paling laris dijual, sehingga saya terpaksa mengehadkan pembelian supaya pelanggan lain juga dapat membelinya setelah lama beratur,” katanya.
Nor Zianal berkata berikutan sambutan yang diterima, pihak pasar raya terpaksa menambah bekalan barangan jualan, untuk tidak mengecewakan pelanggan yang telah lama beratur.
Bagi seorang pelanggan Azrini Che Mustapa, 33, PJMKM turut membeli peluang masyarakat setempat membeli barangan keperluan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
“Kami di Kelantan bakal berdepan musim tengkujuh tidak lama lagi, menerusi program jualan murah ini membeli pilihan kepada penduduk yang bependapatan rendah mendapatkan barangn pada harga lebih murah.
“Diharap program ini diteruskan dari semasa ke semasa dalam meringankan bebas kos sara hidup rakyat,” katanya.-Bernama

