
JAKARTA – Pengunjung dan penduduk kawasan Jebres di Surakarta, Jawa Tengah gempar selepas seekor orang utan milik taman Solo Safari terlepas dari kandangnya dan berkeliaran di kawasan perumahan berhampiran Universiti Sebelas Maret (UNS) , lapor saluran berita Jawa Pos.
Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, haiwan bersaiz besar dan berbulu perang itu dilihat berkeliaran di kejiranan penduduk serta sempat menghampiri sebuah premis makanan, Warung Ayam Goreng Bengawan kelmarin.
Haiwan itu turut menolak sebuah motosikal sehingga tumbang sebelum memanjat dan duduk di atas pagar kediaman warga setempat di Jalan Kyai H. Masykur.
Penduduk yang berada di lokasi kejadian bertindak menjauhkan diri kerana bimbang akan keselamatan masing-masing.
Pihak Perusahaan Daerah (Perumda) Taman Satwa Taru Jurug (TSTJ) mengesahkan insiden tersebut.
Pengarah Perumda TSTJ, Achmad Syukri Prihanto berkata, orang utan itu ditangkap semula kira-kira pukul 3.30 petang (waktu tempatan).
Haiwan tersebut kini dihantar ke Solo Safari dalam keadaan selamat dan sihat.
Punca haiwan tersebut terlepas masih disiasat pihak pengurusan Solo Safari. – AGENSI
The post Orang utan singgah warung ayam goreng appeared first on Kosmo Digital.

