
DUNIA pekerjaan kini bergerak pantas, organisasi perlu menyesuaikan diri dengan teknologi, permintaan pelanggan dan persaingan. Kejayaan tidak semata-mata bergantung pada strategi hebat, sistem canggih atau alat moden tetapi insan yang menggerakkan operasi harian.
Tenaga kerja yang bermotivasi, saling menghormati dan bekerjasama mampu memacu prestasi ke tahap optimum.
Namun keharmonian tempat kerja mudah tergugat apabila wujud individu yang memberi impak negatif kepada persekitaran. Pekerja toksik bukan sekadar melakukan kesilapan sekali-sekala atau meluahkan rungutan tetapi menunjukkan tingkah laku berulang yang menjejaskan emosi, hubungan dan output pasukan.
Kesan jangka pendek boleh bertukar menjadi pola yang meruntuhkan budaya organisasi sekiranya dibiarkan.
Satu ciri lazim ialah kecenderungan melihat halangan tanpa menawarkan penyelesaian. Mereka gemar mengkritik, menolak cadangan dan mengulang rungutan tanpa sumbangan konstruktif.
Sikap sedemikian melemahkan motivasi rakan sekerja kerana setiap usaha seolah-olah disambut dengan nada negatif. Lama-kelamaan suasana menjadi suram, semangat kerja menurun dan produktiviti merosot.
Kebiasaan menuding jari apabila berlaku kesilapan turut menjadi tanda amaran. Golongan seperti ini kurang bertanggungjawab terhadap kelemahan diri dan sanggup meletakkan kesalahan kepada orang lain demi mengekalkan imej peribadi.
Apabila akauntabiliti lemah, pekerja takut mengakui kesalahan, mula menyembunyikan masalah dan enggan belajar daripada pengalaman, sekali gus menjejaskan pembangunan profesional.
Selain itu, manipulasi emosi merupakan alat yang sering digunakan untuk keuntungan peribadi. Mereka mungkin memutar belit fakta, mencetus rasa bersalah atau menyebar khabar angin untuk menjatuhkan individu yang menonjol.
Sikap cemburu boleh mendorong tindakan seperti mengumpat, mengkritik keterlaluan atau sabotaj. Perbuatan ini memecah-belahkan pasukan dan menjejaskan tahap kepercayaan.
Impak negatif melangkaui individu tertentu dengan kesan boleh dirasai oleh keseluruhan organisasi. Pekerja yang berterusan berdepan konflik mudah mengalami keletihan mental, kehilangan motivasi dan memilih untuk berhenti.
Kadar pusing ganti meningkat, kos pengambilan dan latihan membengkak, malah bakat berharga mungkin meninggalkan organisasi kerana suasana kerja yang toksik tidak ditangani.
Budaya sebegini juga menghalang inovasi dan perubahan. Apabila mereka takut dikritik atau dipermainkan, pekerja memilih berdiam walaupun ada idea bernas. Peluang meningkatkan proses dan memperkenalkan amalan lebih baik terlepas, sekali gus merencat daya saing jangka panjang. Organisasi yang stres dengan budaya negatif menghadapi risiko ketinggalan dalam pasaran yang dinamik.
Oleh itu, peranan pengurusan sumber manusia menjadi kritikal. Langkah awal termasuk membentuk nilai kerja yang jelas berasaskan hormat, tanggungjawab, kerjasama serta menerapkannya melalui dasar, latihan dan penilaian prestasi.
Pemimpin mesti mempamerkan komunikasi terbuka, adil dan empati. Kata-kata sahaja tanpa contoh teladan tidak mencukupi untuk menanam budaya positif.
Sistem pengesanan awal seperti maklum balas pekerja, penilaian objektif, perbincangan berkala dan saluran aduan selamat penting untuk mengenal pasti masalah sebelum berlarutan.
Sokongan kesihatan mental melalui kaunseling, latihan pengurusan tekanan dan aktiviti pembinaan pasukan turut menyumbang kepada ketahanan emosi. Namun punca sebenar seperti beban kerja berat atau kepimpinan autoritatif perlu ditangani, bukan ditutup dengan program sementara.
Dalam menghadapi individu bermasalah, organisasi harus memberi peluang pembaikan melalui bimbingan, latihan dan pelan prestasi tetapi juga menerapkan tindakan tegas jika tingkah laku berterusan.
Langkah seperti pertukaran tugas, tindakan disiplin atau pemisahan perlu dijalankan mengikut prosedur adil demi melindungi kesejahteraan majoriti. Dengan pengurusan strategik, tempat kerja mampu kekal sihat, produktif dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.-UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi
Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
The post Organisasi terjejas bila pekerja toksik appeared first on Utusan Malaysia.
