amree23/09/2026 - 11:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — Oriental Interest Berhad memohon menarik balik cadangan pengambilalihan bernilai RM280 juta yang sebelum ini bakal membawa kumpulan itu memasuki perniagaan pembiayaan dan runcit motosikal.
Pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia sudah mengemukakan surat kepada pihak berkuasa bagi menarik balik draf pekeliling dan permohonan penyenaraian yang difailkan pada 18 Ogos 2026.
Menurut kumpulan itu, langkah berkenaan dibuat bagi membolehkan kemas kini penting dilakukan terhadap dokumen berkaitan cadangan tersebut, namun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai perkara perlu dikemas kini.
"Lembaga Pengarah Oriental Interest akan memaklumkan sebarang perkembangan selanjutnya yang berkaitan dengan cadangan pengambilalihan berkenaan apabila tiba masa bersesuaian," tambah syarikat tersebut.
Cadangan diumumkan pada Julai 2026 itu melibatkan pemerolehan 100% ekuiti Chin Hin (Jitra) Sdn Bhd dan CHJ Motor Holdings Sdn Bhd daripada syarikat berkaitan pemegang saham kumpulan, LK Labuan Foundation.
Berdasarkan perjanjian bersyarat dengan LLSB 1980 Holdings Sdn Bhd, usaha itu dibiayai penerbitan 76.92 juta saham baharu berharga RM1.30 sesaham dan 180 juta saham keutamaan tebus bukan boleh tukar bernilai RM1 sesaham.

Chin Hin menjalankan perniagaan pembiayaan sewa beli motosikal dan pemberian pinjaman wang, manakala CHJ Motor memiliki syarikat jualan motosikal, pengedaran alat ganti, perkhidmatan pembaikan serta agensi insurans.
"Jika cadangan diteruskan, pegangan LKFO Sdn Bhd dalam Oriental Interest susut kepada 51.37%, dan kepentingan LLSB naik kepada 15.65%, yang meningkatkan ekuiti LK Labuan Foundation daripada 66.24% kepada 70%," katanya.
Pengambilalihan itu dilihat bakal mempelbagaikan sumber perniagaan Oriental Interest daripada pembangunan hartanah kepada sektor pembiayaan dan runcit motosikal, termasuk jualan, alat ganti, pembaikan dan insurans.
Dalam perkembangan berkaitan, keuntungan bersih Oriental Interest bagi tempoh suku ketiga yang berakhir pada 31 Mei 2026 merosot 31% kepada RM25.6 juta, manakala hasil susut 41% kepada RM179.4 juta.
Ia berikutan bil kemajuan lebih rendah daripada perniagaan hartanah. Setakat 31 Mei 2026, kumpulan memiliki jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM628.71 juta serta kira-kira 908 hektar tanah untuk pembangunan masa depan.
Saham Oriental Interest ditutup dua sen atau 1.6% lebih rendah pada RM1.23 pada dagangan 22 September 2026, memberikan permodalan pasaran RM754.8 juta, manakala sahamnya susut 3.91% setakat tahun ini. - DagangNews.com

