OnePlus hari ini telah mengedarkan kemas kini Oxygen OS 13.1 untuk OnePlus 11 yang menawarkan ciri Cellular Data Sharing, Multi-screen Connectivity, Call Sharing, Message Sharing dan Auto Connect. Ciri ini dikhususkan untuk pengguna OnePlus Pad, tetapi mereka yang ada dua telefon OnePlus turut boleh memanfaatkan salah satu ciri baharu ini.

Pengguna boleh berkongsi sambungan data mudah alih dari OnePlus 11 ke peranti OnePlus lain seperti yang sudah lama disokong pada peranti Samsung dan iPhone. Untuk menggunakannya, akaun OnePlus yang sama harus digunakan pada setiap peranti. Cellular Data Sharing ini turut menyertakan sokongan Call dan Message Sharing untuk menjawab panggilan telefon serta membalas mesej pada OnePlus Pad dengan syarat setiap peranti berada di jarak 10m.

Multi-screen Connectivity pula adalah ciri yang sedia ada pada peranti Oppo atau pada Realme Pad dan laptop Realme. Ia membolehkan pengguna menggunakan skrin telefon OnePlus pada OnePlus Pad. Untuk Auto Connect ciri ini membenarkan pengguna melakukan tugasan seperti salin dan tampal dari satu peranti ke peranti lain dengan mudah.
Buat masa ini kemas kini diedarkan secara berperingkat dan didahulukan kepada negara yang menjual OnePlus Pad. Ini adalah jalan penyelesaian OnePlus untuk ekosistem mereka yang tersendiri. Hanya fokus pada telefon dan tablet sahaja kerana mereka tiada perancangan untuk melancarkan laptop dalam masa terdekat.
- Sumber
- XDA
