
SUBANG BESTARI – Seekor kucing berwarna oren atau ‘oyen’ menjadi penyelamat apabila berjaya menyedarkan sebuah keluarga daripada kebakaran yang berlaku di kediaman mereka awal pagi semalam.
Menerusi satu perkongsian tular di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @shuumustafa, kucing tersebut dikatakan mengiau sekuat hati sebelum kejadian, seolah-olah cuba memberi amaran bahawa rumah sedang terbakar.
Menurutnya, kakak iparnya tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi kucing tersebut menjerit-jerit, sebelum menyedari terdapat bunyi mencurigakan seperti sesuatu sedang terbakar.
Kebakaran Berlaku Sekitar Jam 2 Pagi
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.00 pagi, 30 Mac 2026 di Subang Bestari.
Hasil pemeriksaan pihak forensik mengesahkan kebakaran berpunca daripada litar pintas di ruang tamu atau ruang televisyen. Kehadiran sofa di kawasan tersebut menyebabkan api cepat merebak hingga ke bahagian tengah tingkat atas rumah.
Api bagaimanapun berjaya dipadamkan dengan bantuan jiran-jiran sebelum ketibaan pihak bomba.
Seluruh Keluarga Terselamat
Alhamdulillah, abang kepada pemilik akaun tersebut bersama isteri dan anak-anak berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Namun begitu, keadaan rumah mengalami kerosakan teruk dan mereka tidak dapat tinggal di situ buat sementara waktu. Malah, barangan termasuk pakaian sekolah anak-anak turut musnah dalam kebakaran tersebut.
Dalam masa sama, pemilik perkongsian turut memohon sumbangan daripada orang ramai bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan, selain mengharapkan doa agar segala urusan mereka dipermudahkan.
Netizen Puji Oyen, Dianggap ‘Hero’
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terharu dan memuji tindakan kucing tersebut yang dianggap sebagai ‘hero’ sebenar dalam kejadian itu.
Malah ada yang berseloroh mengatakan jika ‘oyen’ itu diberikan geran rumah sekalipun, tiada siapa yang akan cemburu.
Pemilik turut membalas komen dengan menyatakan bahawa kucing tersebut akan dijaga dengan sebaiknya hingga ke akhir hayat sebagai tanda penghargaan.
Selain itu, ada juga netizen mencadangkan agar kucing berkenaan dibawa ke klinik veterinar bagi pemeriksaan kesihatan kerana berkemungkinan terhidu asap ketika kejadian.
Pengajaran Buat Semua
Kisah ini sekali lagi membuktikan bahawa haiwan peliharaan bukan sekadar peneman, malah boleh menjadi penyelamat dalam situasi yang tidak dijangka.
Berbuat baiklah kepada makhluk lain kerana kita tidak pernah tahu, mungkin suatu hari nanti mereka juga menjadi asbab menyelamatkan nyawa kita. – The Malaysian Update
The post Oyen Jadi ‘Hero’, Selamatkan Satu Keluarga Dari Kebakaran Tengah Malam appeared first on The Malaysian Update.


