
BUTTERWORTH: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang merangka beberapa pelan tindakan bagi menangani isu kekurangan air di Empangan Air Itam yang mengalami penyusutan ketika ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow (gambar) berkata ini termasuk rancangan untuk menyusun atur semula bekalan dengan mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) dan empangan lain ke Empangan Air Itam bagi membolehkan ia mencapai semula kapasiti efektif untuk disalurkan kepada pengguna di kawasan sekitar.
“Walaupun Empangan Air Itam kini mengalami penyusutan namun, pembekalan masih boleh dibuat melalui LRA Sungai Dua dan Empangan Teluk Bahang dan langkah ini diharap dapat mengawal situasi (penyusutan air) seterusnya memastikan tiada kawasan yang mengalami kekurangan bekalan,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan “Pertanian Pintar dan Pengilangan Makanan: Membangun Masa Depan Mampan” di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi Negeri, Fahmi Zainol.
Ketika ini, Empangan Air Itam membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau.
Beliau berkata selain penyusunan bekalan, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk melakukan pembenihan awan sebagai alternatif bagi mengatasi situasi di Empangan Air Itam.
Untuk itu, Chow berkata pertemuan akan diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K. Pathmanathan dalam masa terdekat bagi membolehkan perbincangan lanjut dibuat mengenai rancangan itu serta pelan-pelan lain yang wajar bagi memastikan bekalan mencukupi kepada kawasan terlibat.
Semalam, Pathmanathan berkata kapasiti Empangan Air Itam terus menunjukkan penurunan ketara kepada tahap waspada dua disebabkan oleh cuaca panas ketika ini selain kebocoran paip yang berlaku di Sungai Perai.
Empangan Air Itam merekodkan kapasiti efektif 83 peratus pada 1 Dis lepas namun insiden paip pecah di Sungai Perai pada 18 Dis lalu menyebabkan penggunaannya ditingkatkan bagi menampung kegunaan penduduk terjejas menyebabkan paras air menyusut kepada 66.7 peratus setakat 5 Jan lepas. -Bernama
