Peluru berpandu udara ke udara (AAM) telah digunakan sejak Perang Dunia Pertama untuk menembak jatuh belon yang mengintip kedudukan musuh. Tetapi peluru berpandu pertama yang direka untuk menembak pesawat ialah Fairey Fireflash yang digunakan oleh RAF pada tahun 1955. Kemajuan teknologi AAM semasa membolehkan pesawat ditembak walaupun ia di luar jarak penglihatan. Oleh sebab itu sistem penangkis yang terkini perlu dibangunkan untuk memastikan keselamatan pesawat pejuang.

Sistem Fiber-Optic Towed Decoy (FOTD) generasi baharu ini akan berasaskan sistem AN/ALE-55 FOTD sedia ada. Ia mempertahankan pesawat dari serangan peluru berpandu dengan tiga cara berbeza. Cara pertama ialah mengganggu sistem radar peluru berpandu bagi mengelakkan pesawat dikesan sistem mengunci sasaran. Cara kedua pula ialah melakukan gangguan elektronik bagi mematahkan sistem pengunci sasaran. Jika kedua-dua ini gagal, ia akan cuba menipu peluru berpandu untuk menyerangnya dan bukan pesawat yang menunda.
