Satu usaha murni yang dilakukan oleh pasukan Larian Seniman Agung P.Ramlee (LSAPR) wajar mendapat pujian.
Inisiatif yang bakal dilaksanakan melalui sumbangan dana ini diharapkan dapat menghasilkan satu naskhah filem selain dapat membantu seniman veteran, penggiat seni serta kru di belakang tabir dalam bentuk peluang pekerjaan dan juga sumbangan tunai.
LSAPR merupakan larian solo yang bakal dilakukan oleh selebriti Pablo Amirul sejauh 367KM bermula dari Pulau Pinang hingga ke Kuala Lumpur yang mengambil masa dalam tujuh hari.
Larian Seniman Agung P.Ramlee juga dipilih bagi menggambarkan simbolik perpaduan di antara masyarakat berbilang bangsa dan kaum yang mengagumi cerita dan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Beberapa laluan destinasi utama turut dikongsikan antaranya Rumah P Ramlee di George Town Pulau Pinang, Dataran Merdeka, dan juga Pustaka Peringatan P Ramlee.
Idea tercetus
Menurut Pablo, idea berkenaan tercetus apabila dia dan rakannya yang juga merupakan Pengarah Filem, Dharma Nasution pernah membantu rakan seindustri yang terkesan.
“Kemampuan saya terjejas, tak boleh nak membantu ramai. Jadi, kami fikir cara yang sesuai untuk kita membantu orang.
“Dan kami mengambil semangat dari P.Ramlee sebagai satu semangat perpaduan, kumpul dana melalui sumbangan.
“Bantuan tu kita akan salur terus ke persatuan berdaftar seperti Seniman, Karyawan, Profima dan FDAM menggunakan agensi yang akan menguruskan kutipan dana,” katanya.

Checkpoint
Menerusi beberapa perkongsian di stesen radio juga, Pablo memaklumkan sebanyak 18 buah masjid akan menjadi tempat persinggahan (checkpoint) sepanjang larian 367KM itu dan enam masjid yang akan dipilih untuk dibuat acara kemasyarakatan.
Sementara itu, menurut Pengarah Projek LSAPR, Syed Muhamad Izzudin Bin Syed Akil, beliau mengharapkan agar larian amal ini mampu memberikan satu inspirasi kepada semua golongan masyarakat untuk sama-sama membantu kelompok industri yang terjejas.
“Kita harapkan projek seperti ini menjadi ikutan masyarakat di luar sana bagi membantu golongan yang terkesan dengan cara tersendiri.
“Selain itu, dapat menarik minat golongan muda untuk turut sama-sama mengimbau bagaimana seorang seniman agung yang merupakan satu ikon perpaduan semua masyarakat dapat menyatukan semangat dan kasih sayang yang diterjemahkan melalui filem,” katanya.
The post Pablo Amirul lakukan larian solo 367 km, niat bantu golongan industri yang terkesan appeared first on The Reporter.


