PAC bongkar hospital swasta caj GL melampau hingga 300%

LocalHealth & Fitness
25 Jun 2026 • 4:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAC bongkar hospital swasta caj GL melampau hingga 300% Image from: PAC bongkar hospital swasta caj GL melampau hingga 300% johardy25/06/2026 - 16:12 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Jun - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kegiataan sesetengah hospital swasta mengenakan caj melampau kepada pesakit yang menggunakan Surat Jaminan (Guarantee Letter atau GL), dengan kadar lebih tinggi berbanding pesakit tunai dan kaedah bayar dahulu tuntut kemudian.

 

PAC turut mendapati wujud amalan “unbundling”, iaitu caj berasingan dikenakan bagi item asas yang lazimnya sudah termasuk dalam caj bilik hospital.

 

Ahli PAC, Dr Halimah Ali berkata dapatan itu diperoleh hasil 19 prosiding yang dijalankan antara Februari hingga Ogos tahun lalu.

 

Beliau berkata antara contoh caj berasingan yang dikesan termasuk pelupusan sisa klinikal, sarung bantal dan swab alkohol yang sepatutnya sudah termasuk dalam caj bilik.

 

PAC mendapati wujud keadaan di mana pesakit GL dikenakan kadar lebih tinggi berbanding pesakit yang membayar tunai, sekali gus menimbulkan isu ketelusan dalam struktur penetapan harga hospital swasta.

 

Unbundling, mark-up ubat dan isu ketelusan caj hospital

Selain itu, PAC turut mendedahkan amalan “unbundling” yang menyebabkan caj asas perubatan dipecahkan kepada komponen kecil, meskipun ia lazimnya termasuk dalam pakej rawatan.

 

Beliau berkata terdapat juga ketidaktelusan dalam amalan subsidi silang apabila struktur bil hospital swasta tidak mencerminkan kos sebenar perkhidmatan.

 

PAC turut memaklumkan, caj ubat dan bekalan perubatan didapati mengalami kenaikan mark-up yang ketara, kadangkala mencecah 300% bagi menampung kos operasi wajib yang tidak dicaj secara langsung atau disubsidi seperti caj wad, unit rawatan rapi (ICU) dan perkhidmatan kecemasan 24 jam.

 

Antara cadangan PAC, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengenakan tindakan punitif tegas terhadap mana-mana syarikat insurans yang menyalah tafsir atau gagal mematuhi langkah interim sehingga menjejaskan kebajikan pemegang polisi.

 

BNM juga disaran memastikan industri insurans dan takaful beralih kepada pelarasan premium tahunan yang lebih kecil dan stabil bagi mengelakkan kejutan kewangan kepada pengguna.

 

PAC turut mencadangkan semakan semula harga premium berasaskan kohort serta pendekatan lebih seimbang bagi memastikan keadilan perkongsian risiko tanpa menjejaskan kemampuan rakyat.

 

MyCC dan Kementerian Kesihatan

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pula disaran memberi panduan kepada pihak berkepentingan berkaitan rundingan diskaun antara hospital dan syarikat insurans agar proses lebih adil serta tidak menjejaskan akses pesakit.

 

Beliau berkata Kementerian Kesihatan perlu memastikan pindaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dilaksanakan bagi memberi kuasa mengawal caj perkhidmatan hospital swasta selain yuran doktor.

 

Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia juga perlu memperkukuh saluran aduan serta mekanisme penyelesaian isu berkaitan kos insurans dan perubatan supaya dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan.

 

Kerajaan turut disaran bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mewujudkan mekanisme kawalan harga ubat-ubatan dan peralatan perubatan bagi mengelakkan kenaikan harga melampau serta aktiviti mengaut keuntungan berlebihan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved