PAC persoal keberkesanan projek perintis MediAsas, hanya libatkan kurang 0.1% pesakit hospital swasta

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 2:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAC persoal keberkesanan projek perintis MediAsas, hanya libatkan kurang 0.1% pesakit hospital swasta Image from: PAC persoal keberkesanan projek perintis MediAsas, hanya libatkan kurang 0.1% pesakit hospital swasta liza17/11/2026 - 14:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan keberkesanan program perintis insurans MediAsas yang disokong kerajaan susulan jumlah peserta yang terlalu kecil, tidak mewakili kumpulan sasaran sebenar serta belum merekodkan sebarang kemasukan pesakit ke hospital atau tuntutan perubatan.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, projek rintis di Lembah Klang itu hanya melibatkan 1,600 individu yang menyatakan minat untuk menyertai program berkenaan, iaitu kurang daripada 0.1% berbanding 9.9 juta individu yang menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta.

 

Beliau berkata, sebahagian peserta terdiri daripada pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat insurans yang sudah mempunyai perlindungan perubatan disediakan majikan masing-masing.

 

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada projek rintis berkenaan benar-benar menguji keberkesanan MediAsas dalam membantu golongan yang memerlukan perlindungan kesihatan mampu milik.

 

"Lebih membimbangkan, program perintis itu masih belum merekodkan sebarang kes pesakit dimasukkan ke hospital atau membuat tuntutan. Ini bermakna keseluruhan rantaian operasi masih belum diuji dalam keadaan sebenar," katanya pada sidang media di Parlimen.

 

MediAsas perlu sasar golongan lebih memerlukan

Mas Ermieyati berkata, MediAsas sepatutnya berfungsi sebagai jaringan perlindungan lebih luas kepada pekerja sektor tidak formal, petani dan nelayan, bukannya hanya memberi tumpuan kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40).

 

Beliau turut mengingatkan supaya had bayaran sendiri (deductible) dan bayaran bersama (co-payment) ditetapkan dengan teliti bagi mengelakkan platform berkenaan berdepan masalah peningkatan kos seperti yang berlaku dalam polisi insurans komersial.

 

PAC membentangkan penemuannya selepas mengadakan prosiding susulan bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan serta Bank Negara Malaysia berhubung peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan kesannya terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.

 

Walaupun mengakui terdapat kemajuan menerusi agenda pemulihan sektor kesihatan RESET, termasuk pelaksanaan MediAsas dan Inisiatif Ketelusan Harga Ubat, Mas Ermieyati berkata beberapa kelemahan dalam pelaksanaan dasar masih boleh menjejaskan perlindungan pengguna.

 

Penangguhan pindaan akta kesihatan swasta dibangkitkan

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap penangguhan pindaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 sehingga suku pertama 2028.

 

Katanya, tempoh peralihan yang panjang itu menyebabkan pengguna terus terdedah kepada manipulasi caj serta kenaikan harga berlebihan bagi caj hospital bukan profesional.

 

PAC juga berpandangan langkah sementara Bank Negara Malaysia yang melindungi 80% pemegang polisi daripada kenaikan premium tahunan melebihi 10% masih belum mencukupi.

 

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan menggesa perlindungan tersebut diperluaskan kepada 100% pemegang polisi bagi mengelakkan kenaikan premium secara mendadak dan membebankan pengguna.

 

Bank Negara Malaysia turut diminta memperketat pemantauan terhadap ejen insurans dan kaunter hospital bagi memastikan pengguna mendapat maklumat jelas mengenai hak mereka serta pilihan perlindungan alternatif yang tersedia.

 

Mas Ermieyati berkata, kerajaan perlu mematuhi jadual pelaksanaan yang ditetapkan, manakala PAC akan terus memantau inisiatif RESET dan memanggil semula pegawai berkaitan sekiranya berlaku kelewatan atau kegagalan pelaksanaan.

 

MediAsas diperkenalkan di bawah strategi RESET kerajaan bagi memperluas akses kepada perlindungan insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) yang mampu milik dan mampan, susulan peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved