PAC teliti keperluan siasat kerugian RM200 juta pelaburan KWAP dalam eFishery Indonesia

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2026 • 3:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAC teliti keperluan siasat kerugian RM200 juta pelaburan KWAP dalam eFishery Indonesia Image from: PAC teliti keperluan siasat kerugian RM200 juta pelaburan KWAP dalam eFishery Indonesia hamden16/07/2026 - 15:36 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Julai - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan meneliti keperluan untuk mengadakan prosiding berhubung isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam platform akuakultur Indonesia, eFishery, yang didakwa membabitkan kerugian kira-kira RM200 juta.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebarang keputusan sama ada isu berkenaan akan dibawa ke prosiding PAC perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh ahli jawatankuasa sebelum ketetapan dibuat.

 

Katanya, PAC pada masa ini masih memberi tumpuan kepada beberapa prosiding yang sedang berjalan.

 

"Ia (pelaburan KWAP) tidak ada dalam perancangan prosiding. Mungkin kita boleh bincang untuk melihat sama ada PAC perlu ataupun tidak memasukkannya dalam prosiding akan datang.

 

"Buat masa ini memang ada beberapa prosiding yang sedang menunggu untuk kami selesaikan dan mungkin perkara itu boleh kita bincangkan sebelum membuat keputusan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

 

Artikel berkaitan: KWAP ditipu RM200 juta dalam skandal eFishery Indonesia, PM dedahkan di Parlimen

 

Kenyataan itu dibuat susulan perhatian yang diberikan terhadap pelaburan KWAP dalam eFishery, yang dilaporkan berdepan isu tadbir urus dan didakwa mengakibatkan kerugian kira-kira RM200 juta kepada dana persaraan penjawat awam.

 

Sekiranya prosiding diteruskan, ia dijangka memberi tumpuan kepada proses penilaian pelaburan, tadbir urus, pengurusan risiko serta mekanisme pemantauan yang digunakan oleh KWAP dalam membuat keputusan pelaburan berimpak tinggi.

 

Setakat ini, PAC belum menetapkan sebarang tarikh atau skop siasatan berhubung isu tersebut, dengan keutamaan masih diberikan kepada prosiding sedia ada yang sedang berlangsung.

 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam memberitahu KWAP turut menjadi mangsa penipuan membabitkan syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery sebanyak RM200 juta ke dalam pelaburan yang kemudiannya didapati berasaskan penyata kewangan yang dimanipulasi.

 

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan berkata, pelaburan tersebut dibuat selepas melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan, termasuk usaha wajar (due diligence), namun akhirnya terbukti sebagai satu penipuan yang dirancang oleh pengurusan eFishery.

 

Menurut beliau, keputusan pelaburan dibuat berdasarkan maklumat yang dikemukakan syarikat, termasuk penyata kewangan yang telah disahkan oleh juruaudit bertauliah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved