Padah bergurau ‘mungkin ada bom’, seorang pemandu lori diperintah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 360 jam oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
Tertuduh, Sabrie Nulsarie, 39, didapati bersalah kerana menyebabkan ketakutan awam dengan gurauan tersebut pada Julai lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu selepas Sabrie mengaku bersalah. Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman selama empat jam setiap hari sepanjang tiga bulan, dengan bon jaminan sebanyak RM1,000 bersama seorang penjamin tempatan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu membuat gurauan yang tidak wajar ketika berada di Balai Berlepas Lapangan Terbang Tawau pada 15 Julai lalu, kira-kira jam 3.15 petang.
Ketika pemeriksaan bagasi dijalankan, tertuduh secara berseloroh menyebut ‘mungkin ada bom’, merujuk kepada beg seorang penumpang wanita warga China yang diperiksa oleh polis bantuan.
Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang melibatkan penyebaran maklumat yang boleh menyebabkan ketakutan awam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Jhessary P Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pemeriksaan lanjut terhadap bagasi tidak menemui sebarang barang mencurigakan, namun gurauan tersebut telah menyebabkan penahanan tertuduh untuk siasatan lanjut.
Sumber: Harian Metro
The post Padah bergurau ‘mungkin ada bom’, pemandu lori dihukum jalani khidmat masyarakat 360 jam appeared first on The Reporter.

