JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal warga Indonesia didenda RM500 dan dikenakan satu perintah khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas kesalahan membuang sisa pepejal di tempat awam baru-baru ini.
Anita Lukman, 49, membuat pengakuan berkenaan di hadapan hakim Nor Aziati Jaafar setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, Anita didakwa telah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang disediakan.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut di sini pada jam 12. 41 tengah malam, 1 Januari lalu.
Oleh itu, dia didapati telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B (1) Akta yang sama.
**media[3410750]**
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 dan sebagai tambahan kepada denda suatu perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp), Siti Adora Rahtimin.
Siti Adora Rahtimin kemudiannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal sebagai satu bentuk pencegahan dan hukuman khidmat masyarakat sebagai satu bentuk pemulihan.
Bagaimanapun, Anita dalam rayuannya memohon agar hukuman tersebut dapat diringankan kerana dia bekerja membantu kawan di negara ini selain menanggung dua anak berusia 15 dan lapan tahun.
Hakim kemudiannya menetapkan Anita didenda RM500 dan dikenakan perintah khidmat masyarakat selama enam jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, seorang pekerja kilang warga Bangladesh, Sultan Md, 28, turut dihadapkan ke mahkamah atas perbuatan yang sama iaitu membuang puntung rokok pada jam 1.27 pagi di lokasi dan hari yang sama.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadapnya akan dibacakan semula pada 28 Januari depan kerana memerlukan khidmat jurubahasa Bangladesh.



