TUARAN - Tindakan seorang lelaki menjual beberapa organ haiwan hidupan liar yang dilindungi di sebuah gerai di Tamu (pasar hari) Tenghilan di sini membawa padah apabila ditahan Penguat kuasa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah pada Khamis.
Dalam operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu, suspek berusia 30 tahun itu ditahan bersama beberapa barangan iaitu melibatkan organ haiwan seperti beruang madu, tenggiling, kijang dan landak.
Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan penguat kuasa daripada Rapid Response Team (RRT) hasil daripada maklumat unit risikan jabatan tersebut berkaitan aktiviti penjualan organ atau bahagian hidupan liar di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil operasi tersebut membawa kepada rampasan beberapa bahagian haiwan yang dipamer untuk dijual secara haram.
"Antara barangan yang dirampas adalah dua batang kuku beruang madu, satu bahagian tangan beruang madu, satu batang gigi beruang madu, satu keping sisik tenggiling, satu batang tanduk kijang dan enam belas batang duri landak.
Seorang lelaki tempatan telah ditahan bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997).
"Di bawah EPHL 1997, sebarang aktiviti perdagangan hidupan liar yang dilindungi hendaklah mendapatkan lesen atau permit yang sah yang dikeluarkan oleh JHL Sabah.
"Bagaimanapun, tiada sebarang permit dikeluarkan bagi perdagangan, pemilikan atau penyimpanan spesies beruang madu dan tenggiling kerana kedua-dua spesies ini berada di bawah kategori dilindungi sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, Mohd Soffian berkata, individu yang didapati memiliki, menyimpan, menjual atau memperdagangkan spesies tersebut tanpa kebenaran didapati melakukan kesalahan di bawah EPHL1997.
"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun," katanya.


