
Seorang pengantin lelaki yang berkahwin dengan sepasang kembar dalam satu majlis di Maharashtra, India baru-baru ini telah ditahan polis di bawah akta undang-undang India (poligami), lapor The Independent.
Difahamkan, majlis perkahwinan yang berlangsung pada Jumaat lalu menyebabkan ramai pihak termasuk media terkejut walaupun keluarga individu tersebut telah bersetuju dengan jodoh pilihan mereka.
Menurut laporan pasangan kembar berkenaan telah memutuskan untuk berkahwin dengan lelaki yang sama kerana mereka dikatakan ‘tidak boleh berpisah.’
Tambahan pula, mereka tinggal di rumah yang sama (rumah lelaki tersebut) selepas bapa kedua-dua beradik kembar berkenaan dikatakan sudah meninggal dunia.
Dalam video tular di media sosial yang berdurasi 28 saat, kedua-dua beradik kembar tersebut mengalungkan bunga kepada pengantin lelaki ketika diangkat oleh rakan-rakannya yang lain.
Bagaimanapun, rumah tangga mereka terganggu apabila seorang individu membuat laporan polis terhadap lelaki itu di bawah Seksyen Undang-Undang India dengan kesalahan berkaitan dengan poligami.

Ketua Polis Luar Bandar, Solapur Shirish Sadeshpande berkata, “Satu kesalahan telah dibuat dalam keadaan sedar. Kami akan mengambil kebenaran mahkamah dan meneruskan siasatan lanjut.
“Undang-undang menyatakan seorang lelaki hanya boleh berkahwin dengan seorang wanita sahaja dalam satu masa.
“Kami mempunyai maklumat awal bahawa kedua-dua kembar tersebut rapat dan mahu kekal bersama. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” tambah Shirish.
Sementara itu, peguam bela, Harshad Nimbalkar berkata bahwa kesahihan perkahwinan mereka harus diselidik di bawah Akta Perkahwinan Negara.
“Sama ada perkahwinan itu sah atau tidak, perlu disemak mengikut Akta Perkahwinan. Bantahan terhadap perkahwinan sebegini mesti datang daripada isteri pertama.
“Kita perlu terlebih dahulu mengetahui sama ada semua ritual berkaitan perkahwinan berlaku atau tidak,” tambah Nimbalkar.
Sumber: The Independent
The post Padah Kahwin Kembar, Lelaki Ditahan Polis appeared first on Siakap Keli.

